RM12 Juta Program BISBAH Bantu Sekolah Di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah RM12 juta tahun ini untuk  membantu sebanyak 1,600 buah sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di Sabah  dibawah program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), kata Ketua Menteri, Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, sekolah-sekolah tersebut akan menerima bantuan berupa  kelengkapan seperti Komputer, LCD Projektor, Printer, Smart TV, Penghawa Dingin dan  Pembesar Suara Mudah alih yang diberikan secara berperingkat. 

Beliau berkata, BISBAH merupakan antara inisiatif bantuan-bantuan pendidikan yang  disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi memperkasakan prestasi pendidikan di negeri ini. 

"Ini selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan  pembangunan modal insan merupakan antara agenda utama yang diberi penekanan  oleh Kerajaan Negeri", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan dan Anugerah  Kecemerlangan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2023 di Sabah International  Convention Centre pada Selasa. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk  Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif. 

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut peruntukan sebanyak RM 7.5 juta kepada pelajar  yang akan mengambil peperiksaan SPM, STPM dan STAM dengan bayaran sebanyak  RM 200.00 seorang melalui Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), dengan  mensasarkan seramai 38,000 orang pelajar dari kalangan keluarga B40 dan M40. 

"Kerajaan Negeri juga memandang serius terhadap keperluan kewangan yang dihadapi  oleh golongan B40 terutama bagi membiayai pendaftaran melanjutkan pelajaran anak anak ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Justeru, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT  Secara One Off (BUDI) telah diperkenalkan pada tahun lalu dan diteruskan lagi tahun  ini". 

"Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) berjumlah RM1 juta kepada  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang akan dikreditkan kepada penerima yang layak melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)",  tegasnya. 

Katanya, Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) yang diperkenalkan tahun  ini dengan peruntukan sebanyak RM 4 juta untuk membantu membaiki kerosakan dan  menyelenggara yang melibatkan kos dibawah RM50,000 dan ke bawah. 

Beliau berkata, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) mensasarkan pelajar Sabah dari  golongan e-kasih yang sedang belajar di IPT dan tidak berkemampuan untuk membeli  komputer bagi tujuan pembelajaran juga diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan  sebanyak RM2 juta untuk sasaran 1,000 komputer riba. 

Menurut Hajiji, komitmen lain kerajaan negeri termasuklah Bantuan Khas Program  Pendidikan (BANTU) dengan peruntukan sebanyak RM 500,000. Sekretariat  Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) turut dilancarkan untuk pelajar Sabah di  dalam dan luar negara. 

"Peruntukan sebanyak RM 500,000.00 juga telah diperuntukkan untuk Persatuan  Pelajar Sabah yang berdaftar di bawah SEMESTA untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti  persatuan", tambahnya. 

Beliau berharap semua intensif bantuan pendidikan yang telah disediakan Kerajaan  Negeri dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua penerima, sekaligus dapat  menyuntik semangat mereka untuk lebih tekun dalam meneruskan pembelajaran dan  seterusnya melakar kejayaan yang cemerlang pada masa akan datang.  

Sementara itu Hajiji berkata, Human Capital Development Blue Print for Sabah (2021- 2035) telah disediakan bagi memastikan sukatan pelajaran, ilmu kemahiran dan  kepakaran belia serta modal insan, sentiasa kekal relevan, selain menjadi garis panduan  bagi program pembangunan modal insan secara holistik di negeri ini.  

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program latihan kemahiran  termasuk TVET yang relevan dengan keperluan industri semasa dan menambah baik  kemudahan dan alat bantuan latihan di institut-institut latihan di bawah agensi-agensi  kerajaan di negeri ini.  

"Bidang pendidikan sentiasa diberikan keutamaan oleh kerajaan. Ini kerana pendidikan  penting untuk mengubah nasib anak bangsa. Anak-anak muda yang ada pada masa  kini perlu terhindar daripada terjerumus dengan idealogi yang sempit dan merosakkan  minda". 

"Mereka perlu dilahirkan dengan pemikiran yang berdaya saing serta sentiasa  berlumba-luma untuk mengejar kecemerlangan", tegasnya. 

Tamat