Masa Depan Generasi Muda Perlu Jadi Keutamaan Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Masa depan generasi muda perlu diangkat sebagai salah satu  segmen penting dan agenda keutamaan Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kerajaan perlu menyantuni “fear  and concern” anak-anak muda kita tentang peluang pekerjaan mereka hari ini dan  cabaran masa depan. 

Beliau memberikan jaminan bahawa suara dan tuntutan Sabah berkaitan hak-hak dan  kepentingan Sabah bukan hanya berkisar tentang kepentingan kenegerian semata mata, tetapi berlandaskan komitmen menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan  Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).  

“Kita tidak sesekali mengambil hak-hak orang lain, tetapi menuntut agar hak-hak kita  dipelihara dan dilaksanakan. Tidak timbul soal kesetiaan kepada negara, tanah air ini  milik bersama, hidup dan mati kita adalah untuk negara Malaysia tercinta”, katanya pada  Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan  Dunia (WTC), hari ini. 

Katanya, Sabah amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri dalam melaksanakan  isu-isu tertangguh sekian lama berhubung MA63.  

“Kita amat berharap komitmen tinggi Perdana Menteri ini didokong dan dilaksanakan  oleh seluruh penggubal dan pelaksana dasar Kerajaan Persekutuan”, tegasnya. 

Hajiji berkata, perjuangan GRS adalah seiring dengan agenda Membangun Malaysia  Madani. Formula tempatan dan citra lokal yang menjadi landasan perjuangan kita  adalah didirikan atas satu hasrat dan matlamat iaitu membentuk kesatuan seluruh rakyat  untuk bergerak seiring, sehati sejiwa membawa perubahan, melonjakkan pembangunan  Sabah.  

“Kita yakin dan percaya Sabah yang lebih maju dan berjaya akan memberikan nilai dan  makna kepada Malaysia tanah air tercinta”, tambahnya. 

Hajiji berkata, GRS bertekad untuk terus memperkukuhkan gagasan perpaduan ini, dan  mengajak semua rakan untuk terus melangkah ke hadapan demi mengangkat agenda  rakyat melalui Kerajaan Perpaduan.

Katanya, tema Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan iaitu Madani: Mengangkat  Agenda Rakyat amat bertepatan dan wajar diletakkan sebagai landasan setiap dasar  dan program Kerajaan di semua peringkat. 

“Hari ini keutamaan kita adalah untuk memaknai gagasan yang diilhamkan oleh Perdana  Menteri. Kita membangun Malaysia Madani dengan mengangkat agenda rakyat. Secara  tuntasnya, nilai dan makna Malaysia Madani bukan semata-mata menjadikan negara ini  maju, tetapi juga rakyatnya berkemajuan”. 

“Tidak lengkap nilai kemajuan itu sekiranya hanya sebilangan kumpulan masyarakatnya  maju dan masih ada yang ketinggalan dari arus perdana, apatah lagi yang masih hidup  susah. Atas sebab itu, GRS amat mengalu-alukan komitmen Kerajaan Perpaduan  dalam agenda menoktahkan kemiskinan”, tegasnya. 

Hajiji berkata, makna kemajuan itu juga tidak lengkap sekiranya kepesatan  pembangunan itu hanya bertumpu di kawasan dan negeri tertentu semata-mata, dan  masih ada negeri dan wilayah yang bergelumang dengan kemunduran ekonomi dan isu isu legasi infrastruktur termasuk kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya.  

Menurutnya, menjadi harapan GRS agar Kerajaan Persekutuan meletakkan dan  mengangkat agenda kesaksamaan sosio-ekonomi rakyat dan wilayah sebagai agenda  nasional dalam Pembangunan Malaysia Madani. 

Hajiji berkata, GRS memberikan sepenuh komitmen kepada perjuangan Kerajaan  Perpaduan dan kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.  

“Kita mendoakan rakan-rakan parti gabungan Kerajaan Perpaduan memperolehi  kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri-Negeri yang akan berlangsung tidak  lama lagi. Sekiranya diperlukan oleh mana-mana negeri dan sekiranya bersesuaian dan  diperlukan, kita bersedia membantu rakan-rakan sekalian”, tegasnya. 

Tamat