Belia pemangkin Sabah Maju Jaya

KOTA KINABALU: Pembangunan belia menjadi salah satu keutamaan dalam  pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang selari dengan kerangka  Ekonomi MADANI di peringkat nasional, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata, golongan belia bukan sahaja memainkan peranan sebagai penerima  manfaat dasar, malah merupakan agen perubahan dan tenaga penggerak kepada  pembangunan negeri yang berdaya tahan dan inklusif. 

“Pembangunan ekonomi belia bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik.  Belia adalah nadi masa depan yang akan mengemudi hala tuju negeri ini.  

“Justeru, mereka perlu diberikan ruang, latihan serta peluang untuk menyumbang  secara aktif kepada kemajuan Sabah,” katanya ketika merasmikan Forum Ekonomi  Belia : “Aspirasi MADANI Dalam Membangun Sabah Maju Jaya” di Dewan Amil Jaya,  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada Selasa. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM101.49 juta kepada  Kementerian Belia dan Sukan Sabah bagi tahun 2025 untuk melaksanakan pelbagai  program pembangunan belia dan sukan, termasuk RM16.75 juta khusus untuk  pembangunan modal insan. 

Katanya, pelbagai program diperkenalkan bagi memastikan belia Sabah bersedia  menghadapi cabaran semasa dan masa depan, termasuk Program Felo Sabah Maju  Jaya yang memberi pendedahan langsung kepada dasar dan pentadbiran kerajaan. 

“Melalui program ini, belia akan dibentuk bukan hanya dari sudut pengetahuan tetapi  juga dari segi kepimpinan dan nilai kenegaraan, supaya mereka boleh menyumbang  secara berkesan dalam pembangunan negeri,” katanya. 

Beliau turut menyentuh pelaksanaan program keusahawanan seperti Skim Jaya  Usahawan Belia Sabah (SYABAS) yang menyediakan geran, latihan dan bimbingan  kepada belia yang ingin menceburi bidang perniagaan.

Katanya, pembangunan ekonomi Sabah perlu dilihat dalam konteks penglibatan belia  secara langsung, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian dan perikanan yang  merupakan fokus utama SMJ. 

“Potensi besar yang dimiliki negeri ini perlu diterjemahkan menjadi peluang sebenar  untuk rakyat, terutama belia. Kerajaan akan terus menyediakan pelbagai inisiatif dan  insentif agar golongan muda tidak hanya menjadi pemerhati tetapi pelaku utama  ekonomi negeri,” tegasnya. 

Hajiji turut memuji penganjuran forum itu yang bukan sahaja menjadi medan  perbincangan, tetapi juga mencipta ruang kerjasama rentas sektor untuk memperkukuh  usaha membangunkan belia secara menyeluruh. 

Beliau percaya pendekatan bersama melalui sinergi pelbagai pihak akan memastikan  bakat dan potensi belia Sabah dapat digilap secara optimum, sekali gus menyumbang  kepada agenda pembangunan negeri. 

Katanya, kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat amat penting bagi  memastikan aspirasi belia dapat diterjemah menjadi dasar yang membawa impak  kepada komuniti akar umbi. 

“Saya percaya, dengan semangat Sabah Maju Jaya dan prinsip Ekonomi MADANI, belia  Sabah mampu membina masa depan yang lebih progresif, seimbang dan berdaya  saing,” katanya. 

Hajiji turut menyarankan agar program seumpama forum ekonomi belia dapat  dilaksanakan di daerah-daerah lain di seluruh Sabah agar suara belia luar bandar turut  didengar dan diangkat. 

Tamat