Hajiji ucap takziah kepada keluarga Tun Ahmadshah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merakamkan  ucapan takziah kepada keluarga mantan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri  Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah, yang meninggal dunia di Hospital KPJ di sini  pada Selasa. 

“Bagi pihak kerajaan Negeri, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mantan Tuan  Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah  bin Abdullah yang meninggal dunia di Hospital KPJ pada Selasa. 

“Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan setinggi-tinggi nya atas jasa bakti Tun  kepada Negeri dan rakyat. Beliau di kenali sebagai pemimpin yang cukup baik dan amat  disenangi oleh semua lapisan rakyat semasa hidup nya. 

“Secara peribadi saya kehilangan seorang sahabat yang begitu tinggi budi bahasanya  dan seorang yang prihatin kepada rakyat dan negernya. Semoga ALLAH swt mencucuri  rahmat kepada roh Allahyarham,” katanya dalam kenyataannya di sini pada Rabu. 

Tun Ahmadshah dilahirkan pada 9 Disember 1946 dan dilantik sebagai Yang di-Pertua  Negeri Sabah dari tahun 2003 hingga 2010. 

Sebelum itu, Ahmadshah memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan  Negeri sebelum bersara pada Disember 2002. Allahyarham juga pernah memegang  jawatan lain antaranya Pengarah Perjawatan Negeri Sabah, Ketua (Bahagian Hal Ehwal  Dalaman dan Penyelidikan) Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Setiausaha Majlis  Ugama Islam Sabah. 

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Inanam, di sini pada 9 Disember 1946  meninggalkan empat anak manakala isterinya, Toh Puan Dayang Masuyah Awang  Japar meninggal dunia pada 2020. 

Kerajaan negeri turut mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari dan  bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang selama tempoh berkenaan. 

Tamat