Belia Sabah diseru pilih TVET sebagai laluan masa depan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru golongan  belia negeri ini agar membuka minda dan melihat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan  Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama membina masa depan yang cerah, bukan sekadar  laluan alternatif. 

Katanya, bidang TVET kini memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial  negeri, sejajar dengan transformasi teknologi serta keperluan industri masa kini. 

“TVET bukan sahaja melengkapkan individu dengan kemahiran praktikal, tetapi juga sinonim  dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan, dan pertumbuhan ekonomi,” katanya pada Majlis  Pelancaran Majlis TVET Sabah (MTS) di Ballrom The Magellan Sutera Resort, Sutera Harbour  pada Isnin. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya Negeri,  Datuk Ir.Shahelmey Yahya. 

Hajiji menegaskan bahawa kursus-kursus TVET yang ditawarkan kini telah disesuaikan dengan  keperluan pasaran kerja dan sektor perindustrian yang berkembang pesat, menjadikannya satu  jalan kerjaya yang stabil dan berdaya maju untuk anak muda. 

“Saya menyeru belia negeri ini agar tidak ragu-ragu untuk menyertai bidang TVET. Inilah masa  untuk mengubah persepsi dan memandang TVET sebagai pilihan bijak yang membuka ruang  untuk menjadi profesional, usahawan dan inovator,” katanya. 

Menurutnya, Majlis TVET Sabah yang dilancarkan hari ini merupakan komitmen Kerajaan  Negeri untuk memperkukuh ekosistem latihan teknikal, menyelaras lebih 160 institusi TVET di  seluruh negeri dan memastikan setiap graduan yang dihasilkan benar-benar bersedia  menghadapi cabaran dunia pekerjaan. 

Beliau berkata, TVET juga dianggap sebagai pemacu utama kepada matlamat pembangunan  negeri melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan dokumen strategik nasional seperti  Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030)  dan National Energy Transition Roadmap (NETR).  

Hajiji turut menyentuh soal revolusi teknologi masa kini, termasuk kecerdasan buatan (AI), yang  menuntut generasi muda bersedia dengan kemahiran baharu yang bersifat adaptif dan  berorientasikan inovasi. 

“Dunia pekerjaan sedang berubah.Jika belia Sabah tidak bersedia dengan kemahiran yang  relevan, kita akan ketinggalan. TVET adalah platform terbaik untuk kita bangunkan modal insan  berkemahiran tinggi yang akan memacu kemajuan negeri,” tegasnya. 

Menurutnya, pelancaran Majlis TVET Sabah menandakan satu era baharu dalam memperkasa  pembangunan belia melalui latihan berstruktur dan berpandukan keperluan industri – sekali gus  menjadikan Sabah sebagai hab tenaga kerja mahir yang kompetitif di peringkat nasional dan  serantau 

Hajiji berkata, majlis ini bukan sekadar struktur pentadbiran, tetapi platform strategik yang  menyatukan agensi kerajaan, institusi latihan, sektor industri dan pemain utama TVET dalam  satu ekosistem tersusun dan inklusif. 

Menurutnya, Majlis TVET Sabah juga berperanan sebagai penyelaras dasar, pemacu hala tuju  latihan kemahiran, dan sebagai penghubung strategik kepada permohonan dana pembangunan  daripada Kerajaan Persekutuan.  

"Ia turut menyokong agenda pemerkasaan belia dan kebolehpasaran graduan, di samping  memperkukuh pengiktirafan serta pensijilan kemahiran di peringkat negeri", tegasnya. 

Tamat