KM: Sabah komited perkukuh agenda kesejahteraan rakyat

TUARAN: Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmennya dalam memastikan rakyat negeri  ini tidak tercicir daripada arus pembangunan sosial negara. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa kesejahteraan  rakyat kekal menjadi agenda utama pentadbiran negeri. 

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM162.42 juta pada tahun ini kepada  Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta agensi di  bawahnya bagi melaksanakan pelbagai program sosial yang memberi manfaat langsung  kepada rakyat. 

“Kerajaan menyalurkan sebanyak RM76.29 juta tahun ini bagi membantu golongan Orang  Kurang Upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, kanak-kanak serta anak yatim melalui pelbagai  skim bantuan yang disasarkan secara khusus. 

"Manakala sejumlah RM956,000 turut diperuntukkan untuk program-program kesejahteraan  rakyat yang meliputi aspek kekeluargaan, kepenggunaan, pembangunan wanita dan gaya hidup  sihat", katanya ketika merasmikan Program Kembara Kasih Kementerian Pembangunan  Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2025 dan Perasmian Pusat Sokongan Sosial  Setempat (PSSS) Mobile Sabah di Astaka Padang Tuaran pada Jumaat. 

Selain itu katanya, sebanyak RM550,000 disalurkan kepada Persatuan Mencegah Dadah  Malaysia (PEMADAM) Sabah dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah khususnya  dalam kalangan pelajar sekolah. 

Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya KPWKM yang  telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat Sabah.  

Katanya, ini termasuk RM300,000 Bantuan Bencana Banjir Sabah 2025 oleh Yayasan  Kebajikan Negara (YKN), RM2.1 juta diperuntukkan bagi keperluan 384 Pusat Pemindahan  Sementara (PPS) semasa musibah banjir di seluruh negeri. 

Menurutnya, sebanyak RM330 juta Program Bantuan Kewangan Persekutuan Tahun 2025  untuk Sabah, di mana RM315 juta diagihkan kepada 45,572 penerima bantuan di bawah  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

“Usaha ini mencerminkan perhatian serius Kerajaan Persekutuan terhadap kesejahteraan  rakyat Sabah dan kesediaan untuk terus memperkukuh jaringan sosial demi rakyat,” katanya. 

Menyentuh pelancaran PSSS Bergerak, Hajiji menyifatkan inisiatif itu sebagai respons tepat  terhadap krisis kesihatan mental yang semakin membimbangkan di seluruh negara, terutama  pasca pandemik COVID-19. 

Beliau merujuk laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendedahkan lebih 5 juta  rakyat negara ini mengalami isu seperti kemurungan, kebimbangan dan tekanan, termasuk  peningkatan kes bunuh diri 

“PSSS mobile ini diharap mampu menjangkau masyarakat luar bandar dan memberi sokongan  psikososial yang amat diperlukan, termasuk untuk mereka yang terkesan dengan penceraian,  penderaan, pengangguran dan beban kewangan,” katanya. 

Beliau turut menyeru seluruh rakyat, khususnya mereka yang berada dalam laluan Kembara  Kasih KPWKM 2025, agar hadir dan memanfaatkan sepenuhnya pelbagai perkhidmatan yang  disediakan sepanjang program ini. 

Program Kembara Kasih KPWKM 2025 melibatkan dua zon utama di Sabah iaitu Tuaran, Papar  dan Penampang (Zon 1) serta Lahad Datu, Kunak dan Tawau (Zon 2). Ia menghimpunkan  pelbagai agensi kerajaan yang turun padang menyampaikan perkhidmatan kebajikan secara  menyeluruh kepada rakyat. 

Hajiji turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas ke kawasan kawasan lain pada masa depan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh  kesejahteraan rakyat. 

Tamat