Kerajaan tambah baik pemeliharaan warisan budaya, pengurusan alam sekitar

KINARUT: Kerajaan negeri akan terus mempergiatkan usaha menambah baik  pemeliharaan warisan budaya dan pengurusan alam sekitar untuk terus memacu dan  memperkasa industri pelancongan di negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, bagi menyokong usaha  itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM102.87 juta kepada Kementerian  Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri untuk tujuan operasi dan pelaksanaan  pelbagai program serta projek pembangunan pada tahun 2025. 

Beliau berkata, industri pelancongan negeri ini memerlukan lebih banyak produk baharu  yang boleh menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara memandangkan  Sabah mempunyai pelbagai sumber pelancongan yang boleh dipelbagaikan sama ada  berasaskan flora dan fauna mahu pun khazanah budaya serta warisan etnik negeri ini.  

Sejajar dengan harapan itu, beliau mengajak pemain industri pelancongan di negeri ini  meneroka idea-idea baharu untuk menghasilkan produk pelancongan menarik, sekali gus  memastikan Sabah terus menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara.  

“Usaha kita untuk menarik kehadiran pelancong ke Sabah dengan meningkatkan produk  pelancongan juga selari dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk menjayakan kempen  Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang menyasarkan lebih 35 juta pelancong. 

“Walaupun Sabah menyasarkan seramai 3.7 juta pelancong, namun sebagai persediaan  untuk TMM 2026, kita mesti bersedia untuk menerima kehadiran lebih ramai pelancong ke  negeri ini. Justeru, pemain industri harus sedia dan lebih kreatif untuk menambah produk  baharu pelancongan negeri ini”, katanya pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Kebudayaan  Sabah di Kinarut, Papar pada Sabtu. 

Hajiji berkata, pemain industri pelancongan, termasuk dalam kalangan usahawan muda  perlu terus menggunakan teknologi baharu dalam mempromosikan produk pelancongan  berasaskan kebudayaan tempatan kerana cara itu boleh memperkenalkan keunikan  kebudayaan Malaysia, sekali gus menarik minat pelancong berkunjung ke negara ini.  

Selain itu katanya, pembangunan produk pelancongan yang baharu ini juga mampu  menyediakan peluang pekerjaan serta memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk  terlibat dan menikmati manfaat daripada industri pelancongan. 

Beliau yakin Kompleks Kebudayaan Sabah yang melibatkan pembinaan 2 komponen  utama, iaitu Kampung Budaya dan Pusat Kebudayaan akan menjadi produk pelancongan baharu yang menawarkan pengalaman yang unik, inovatif dan berbeza daripada  pelancongan sedia ada.  

Katanya, kompleks ini juga akan menjadi tambahan kepada pusat kebudayaan sedia ada di  negeri ini iaitu Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan  Dusun, Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, dan Pusat Kebudayaan Murut  Tenom. 

Menurutnya, pembinaan Kompleks Kebudayaan Sabah menerusi kerjasama pintar antara  Kerajaan Negeri dan sektor swasta, adalah bukti komitmen berterusan daripada kerajaan  untuk mewujudkan kompleks pertama yang akan menghimpunkan warisan budaya pelbagai  etnik di negeri ini,  

“Ini sekaligus menandakan permulaan kepada satu lagi mercu tanda penting bagi Sabah  yang mencerminkan hasrat kita untuk memelihara, menghargai dan mengangkat warisan  budaya negeri yang kaya dengan keunikan etnik dan tradisinya. 

“Kerajaan negeri akan memastikan pembangunan projek ini dapat dilaksanakan dengan  cermat, mengikut garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan. Manfaat daripada  kejayaan projek ini bukan saja dinikmati oleh generasi masa kini, malah pada masa akan  datang”, tegasnya. 

Hajiji juga menyeru semua pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan  persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dan semua lapisan  masyarakat negeri ini agar terus memperkasa dan memelihara seni, budaya dan warisan  bangsa yang kita miliki dengan sebaik-baiknya agar tidak pupus ditelan zaman.  

“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha ini demi merealisasikan impian menjadikan  Sabah sebagai negeri yang kaya dengan warisan dan budaya”, katanya. 

Tamat