Pelaburan berimpak tinggi di SOGIP dijangka beroperasi pada 2026-2027

SIPITANG: Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) yang memperolehi pelaburan  berimpak tinggi dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2026 dan 2027, kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, antara pelaburan tersebut ialah Syarikat Esteel untuk kilang keluli (Green  Steel) dengan nilai pelaburan berfasa sebanyak RM20 bilion dan Petroliam  Nasional Berhad (Petronas) membangun kemudahan Gas Asli Cecair (LNG) Terapung  dengan nilai pelaburan RM8.8 bilion.  

Beliau berkata, pelaburan lain ialah dari Syarikat E-Concern Sdn. Bhd. dalam  pengurusan sisa bernilai RM1 bilion dan Tex Evolosi Waste Management Sdn. Bhd.  bernilai RM70 juta.  

"Semua syarikat yang saya sebut itu akan mula beroperasi pada tahun 2026 dan 2027.  Semua pelaburan ini akan mencipta peluang pekerjaan seawal di fasa pembinaan dan  semasa beroperasi. Sudah tentu penduduk Sipitang dan sekitarnya akan  mendapat limpahan dalam pelbagai sektor ekonomi.  

"Saya penuh yakin dengan gabungan pemimpin politik, jentera kerajaan serta rakyat di  Sipitang, kita akan melakarkan lebih banyak pembangunan dan kejayaan di daerah  ini", katanya pada Majlis Perasmian Karnival Kesenian, Kebudayaan, Pelancongan dan  Makanan Tradisi Sempena Pesta Makan Tahun Kadayan Sabah 2024 di Padang Top  Ten dekat sini pada Sabtu. 

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr.  Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif. 

Hajiji berkata, pelabur asing dan domestik kekal yakin dan percaya dengan pentadbiran  negeri yang mempunyai hala tuju yang jelas, telah terjemahkan keyakinan mereka  melalui pelaburan bernilai RM1.7 billion pada tahun ini. 

Beliau mahu industri pelancongan di Sipitang diperkasakan lagi untuk menjana manfaat  ekonomi dan pekerjaan, memandangkan kedudukan daerah itu yang amat strategik dan  berhampiran dengan beberapa negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan selain  Sarawak dan Labuan. 

Malah katanya, Sipitang yang cukup terkenal dengan sataynya merupakan laluan  masuk utama pelancong dari Brunei dan Sarawak menggunakan jalan darat.  

Beliau berkata, Kerajaan negeri sentiasa menyokong perayaan tradisi seperti Adat  Makan Tahun Etnik Kadayan dan mahu ianya terus diadakan secara konsisten setiap  tahun sebagai platform memupuk perpaduan khususnya di kalangan etnik Kadayan dan  pelbagai etnik lain di negeri ini. 

Katanya, pemeliharaan budaya amat penting bukan sahaja untuk mempertahankan  identiti bangsa, juga sebagai asas kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat.  

"Di Negeri Sabah, kita berbangga dengan kepelbagaian budaya yang ada daripada 35  etnik dan 217 sub-etnik, menjadikan negeri ini unik dan kaya dengan pelbagai tradisi  serta adat resam. Bagi terus memartabatkan khazanah budaya dan warisan etnik negeri  ini, sebanyak RM13.66 juta diperuntukkan pada tahun hadapan. 

"Ini untuk memastikan warisan budaya dan keseniaan negeri ini terus kekal dan  terpelihara. Selain untuk merancakkan lagi sektor pelancongan, juga bagi memastikan  khazanah ini dapat dinikmati generasi masa kini dan akan datang", katanya. 

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan  pada setiap perancangan yang dibuat, terutamanya dalam meningkatkan taraf  kehidupan ekonomi dan sosial mereka. 

Menurutnya, pelbagai bentuk program, inisiatif dan bantuan diberikan kepada semua  peringkat lapisan rakyat sama ada golongan miskin dan miskin tegar, termasuklah  pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi. 

Katanya, Kerajaan negeri juga telah memperkenalkan inisiatif Rumah Mesra SMJ dengan peruntukan sebanyak 20 buah untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN)  dan inisiatif ini akan ditambah menjadi 40 buah rumah pada tahun hadapan dengan  aggaran perbelanjaan sejumlah RM250 juta 

Tamat