Subsidi RM300 kepada pelajar Sabah yang menuntut di IPT dalam negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memberikan subsidi one-off RM300 kepada  pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini,  kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata bantuan secara one-off itu diberikan kepada pelajar-pelajar yang  menuntut di dalam negeri untuk balik ke kampung masing-masing ketika musim  perayaan. 

“Sebagai contoh, pelajar dari Tawau atau Sandakan tetapi belajar di Kota Kinabalu dan  sebaliknya, akan dibantu dalam one-off subsidi ini. Sama ada mereka akan  menggunakan bantuan itu untuk membeli tiket kapal atau bas. 

“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan saya adalah kerajaan yang  sentiasa mendengar keluhan rakyat. Sebab itu kita sentiasa mendengar apa yang  diminta oleh rakyat termasuk golongan pelajar kita. 

“Pelbagai inisiatif dan bantuan yang diberikan kepada rakyat khususnya pelajar adalah  untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berilmu, yang akan membantu  membangunkan negeri ini pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan  Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS di Raia Hotel di sini, pada Ahad. 

Beliau bagaimanapun berkata, maklumat terperinci mengenai bantuan subsidi itu  termasuk jumlah penerima bantuan kini sedang dilaksanakan oleh pihak yang berkaitan. 

Dalam pada itu, beliau berkata pada bulan Ramadan lalu, bantuan subsidi one-off  RM600 telah diberikan kepada pelajar Sabah yang belajar di IPT awam dan swasta di  Semenanjung, Sarawak dan Labuan. 

“Sebelum ini saya telah umumkan pelaksanaan subsidi kapal terbang yang kita  namakan Graduan Rindu Sabah. Melalui inisiatif ini, pelajar Sabah yang belajar di  Semenanjung, Sarawak dan Labuan memperolehi bantuan one off sebanyak RM600  seorang. Bantuan ini digunakan oleh pelajar untuk balik ke kampung sempena perayaan  atau cuti semester,” katanya. 

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mahu Sayap Pelajar GRS terus  menyantuni golongan pelajar di negeri ini, bagi memastikan golongan itu memberikan  sokongan kepada GRS. 

Beliau berkata golongan muda adalah menjadi penentu kepada kejayaan GRS dalam  Pilihan Raya Negeri ke-17. 

“Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terkini, sejumlah hampir  950,000 pengundi muda (18 hingga 40 tahun) bakal mengundi dalam PRN-17, pada  tahun hadapan.  

“Justeru, saya menyarankan kepada Sayap Pelajar GRS untuk terus menyantuni  golongan pelajar. Ini penting bagi memastikan golongan itu memberikan sokongan  kepada GRS. GRS merupakan parti yang meletakkan kepentingan orang muda di  kedudukan yang istimewa.  

“Apa yang penting sayap ini membantu menyakinkan rakyat khususnya pelajar di IPT  mengenai dasar dan inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan GRS selain pentingnya  kestabilan politik demi untuk masa depan rakyat dan negeri ini,” katanya. 

Tamat