RM43.49 juta naiktaraf rangkaian internet premis kerajaan negeri, Pusat e-Desa

RANAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM43.49 juta dalam Belanjawan Sabah  2024 untuk menaiktaraf rangkaian internet di 1,031 buah premis Kerajaan Negeri, termasuk  Pusat-Pusat e-Desa menggunakan gentian optik berkelajuan minima 300 mbps, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, turut  melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa dan mempercepatkan pembangunan  prasarana teknologi digital di Sabah, antaranya mempercepat pelaksanaan Pelan Strategik  Kerajaan Digital di negeri ini menjelang tahun 2025.  

Beliau berkata, Pelan Jalinan Digital Nasional (JENDELA) yang masih lagi dalam peringkat  pelaksanaan dijangka akan siap pada akhir tahun 2025.  

Menurutnya, bagi kawasan pedalaman yang mengambil masa untuk dirikan menara dan  infrastruktur gentian optik, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah telah memilih  alternatif lain iaitu memasang peranti Starlink di seluruh kawasan Sabah yang telah dikenal pasti  mempunyai masalah ketersambungan internet sebagai penyelesaian interim kepada kawasan  tersebut. 

Katanya, sebanyak 300 buah peranti Starlink telah dipasang oleh Sabah Net Sdn.Bhd sebagai  pelaksana, menjadikan negeri Sabah negeri pertama memasang Starlink terbanyak kepada  masyarakat luar bandar. Perkhidmatan internet ini hanyalah sebagai penyelesaian interim  sehingga projek JENDELA siap kelak. 

“Setakat 28 Mei 2024 lalu, pemasangan Starlink telah mencapai 100 peratus, yang merangkumi  daerah-daerah seperti Tuaran, Tambunan, Ranau, Keningau, Kota Belud, Kota Marudu, Kuala  Penyu, Tenom, Tawau, Kalabakan, Sandakan, Tongod, Pitas, Kunak, Kudat, Beluran, Telupid,  Sipitang, Beaufort, Lahad Datu, Semporna, Nabawan, Sook, Papar dan Penampang”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Internet Komuniti Luar Bandar Kampung  Terolobou, Ranau pada Jumaat. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri,  Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun. 

Hajiji berkata, dengan meningkatnya akses internet yang lebih meluas, penduduk luar bandar  boleh mengecapi peluang yang setara dengan penduduk di bandar.  

Beliau mengambil contoh, penduduk luar bandar sudah boleh berhubung dengan menggunakan  video call, mengakses harga pasaran semasa hanya dalam talian, mempelajari ilmu pertanian,  peternakan, perikanan dan banyak lagi menerusi video dalam talian yang secara langsung akan  dapat meningkatkan produktiviti mereka.  

“Pelajar luar bandar juga turut mendapat manfaat. Mereka kini sudah boleh mengakses sumber  pendidikan melalui kursus dalam talian dan mendapat ilmu pengetahuan global yang akan  membuka potensi menyeluruh mereka. Usahawan akan dapat mencapai pasaran yang lebih  luas dengan memulakan perniagaan dalam talian demi menjana pendapatan seterusnya dapat  meningkatkan ekonomi di kalangan komuniti”, katanya. 

Menurutnya, satu kaedah merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar  ialah penyediaan kemudahan seperti itu, sekali gus memberikan peluang kepada seluruh  masyarakat luar bandar untuk lebih berkembang maju. 

Hajiji berkata, perasmian Internet Komuniti Luar Bandar Kampung Terolobou menandakan  peristiwa penting sebagai simbolik ke arah kemajuan teknologi digital khasnya kepada seluruh  penduduk luar bandar. Transformasi digital ini akan melonjakan proses perubahan teknologi  digital dalam berbagai aspek kehidupan yang melibatkan masyarakat secara keseluruhan.  

Tamat