Muktamadkan Penurunan Kuasa Bidang Pendidikan & Kesihatan Dalam Masa Terdekat

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berharap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana  Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memuktamadkan mengenai penurunan kuasa dalam  bidang pendidikan dan kesihatan kepada Kerajaan Negeri seperti yang dibincangkan menerusi  Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam masa terdekat, kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau yang menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah  Yusof mengenai penurunan kuasa itu berkata, dengan mempunyai lebih autonomi akan  memastikan sistem pendidikan negeri ini terus maju seiring dengan perkembangan di  Semenanjung Malaysia.  

Katanya, penurunan kuasa itu yang tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pengurusan, akan  lebih memudahkan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan dan mempercepatkan setiap projek  pembangunan pendidikan di samping pelantikan dalam perjawatan perguruan, sepertimana  yang diharapkan oleh rakyat negeri ini.  

“Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga secara tidak langsung membuktikan  kepercayaan Kerajaan Persekutuan kepada jentera Kerajaan Negeri khususnya dalam  meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di negeri ini”, katanya pada Majlis Penyampaian  Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae,  Menara Tun Mustapha pada Selasa. 

“Kita yakin dengan adanya autonomi ini, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi  dan Inovasi akan mempunyai fleksibiliti untuk pelbagai isu yang berkaitan pendidikan di negeri  ini. Dalam hal ini, para pegawai di peringkat negeri mempunyai pengetahuan yang lebih baik  tentang permasalahan rakyat di kawasan sendiri. Dengan itu kawalan dan penyeliaan yang  lebih baik harus dilaksanakan dan ini secara tidak langsung membolehkan isu permasalahan  rakyat dapat diurus dengan lebih cekap dan cepat”. 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM35 juta pada tahun 2022 bagi  melaksanakan beberapa inisiatif dalam pendidikan untuk memperkukuhkan dan melahirkan  modal insan negeri ini yang berilmu demi membentuk masa depan yang gemilang. 

Katanya, antara inisiatif pendidikan ialah pemberian BUDI (Pendaftaran IPT Secara One Off),  BISTARI (Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Sabah), BAKTI (Bantuan Khas Tunai  Peperiksaan), BAGUS (Bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)), AKSA  (Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah), BISBAH (Bantuan Ihsan Sekolah Sabah) dan  BAIK (Bantuan Ihsan Komputer).  

Beliau berkata, inisiatif-inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada seramai 41,590 pelajar dan  3,044 orang bayi di samping 1,500 buah sekolah dan 630 PIBG. Sementara pada tahun ini sebanyak RM43 juta telah disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam bajet 2023 untuk tujuan yang  sama. 

Katanya, inisiatif ini berupa bantuan tunai pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT), Skim  Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), bantuan peperiksaan, anugerah kecemerlangan,  sumbangan peralatan sekolah, komputer riba dan bantuan kepada PIBG. 

Hajiji berkata, inisiatif yang diberikan kerajaan itu jelas komitmen kerajaan memberikan  penekanan kepada peningkatan peluang pendidikan inklusif untuk semua rakyat tanpa mengira  latar belakang mereka. Semua inisitaif itu terbukti memberi banyak faedah khususnya dalam  mengurangkan beban kewangan golongan kurang berkemampuan dan B40.  

Menurutnya, tahun ini dua lagi inisiatif bantuan pendidikan baharu akan dilaksanakan iaitu  Bantuan Khas Program Pendidikan Sabah (BANTU) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil  Sekolah (BALKIS).  

Tamat.