Kerajaan Negeri terus perkukuh komitmen majukan sukan

TAWAU: Kerajaan negeri komited memajukan bidang sukan negeri ini, dan dibuktikan  dengan pembinaan serta menyediakan banyak prasarana sukan menerusi Kementerian  Belia dan Sukan Sabah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, selain itu komitmen  kerajaan juga dizahirkan menerusi pemberian insentif kepada atlet yang berjaya  mengharumkan nama Sabah dan Malaysia. 

“Sememangnya menjadi harapan kita untuk melihat lebih ramai atlet Sabah menyerlah  di pentas kebangsaan dan antarabangsa. Malah kerajaan sentiasa mengiktiraf  pencapaian mereka dengan membelanjakan sejumlah besar peruntukan setiap tahun  untuk insentif kejayaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Temasya Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau  di Stadium Tawau pada Sabtu. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan  Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin. 

Menurut Hajiji, penganjuran SAGA adalah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan  Sabah tidak ketandusan bakat baharu. Temasya itu juga menjadi medan mencungkil  atlet pelapis untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi. 

“Kementerian Belia dan Sukan Negeri perlu terus mencungkil lebih ramai bakat muda  melalui pelbagai program atau pertandingan di seluruh negeri. Kita mahu sukan menjadi  budaya hidup masyarakat,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau mengingatkan atlet agar menjadikan SAGA bukan sekadar  medan memburu kemenangan, tetapi juga platform menampilkan semangat juang dan  keperibadian tinggi. 

“Setiap peluh yang tumpah di gelanggang adalah batu asas untuk kejayaan Sabah pada  masa hadapan. Binalah nama baik daerah dan negeri kita,” katanya. 

Hajiji turut berharap SAGA akan berkembang sebagai karnival sukan berprestij yang  bukan sahaja menarik penyertaan masyarakat secara menyeluruh, tetapi turut  melahirkan budaya sukan yang lebih meluas di Sabah.

“Program sebegini bukan sahaja menyumbang kepada rakyat yang sihat dan cergas,  tetapi juga memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai atlet muda dan cemerlang,”  jelasnya. 

Katanya, Sabah telah membuktikan kemampuan melahirkan atlet berkualiti dengan  kejayaan beberapa bintang sukan negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa  seperti Farrel Glen Felix Jerus (lompat tinggi), Merrywati Manuil (silat), Evan Rich Chong  (memanah) serta Jonathan John (tinju). 

“Mereka adalah bukti bahawa anak-anak Sabah mampu menjadi kebanggaan negeri  dan negara,” tambahnya. 

Hajiji turut menyeru semua peserta SAGA XI agar bertanding dengan disiplin dan  semangat kesukanan yang tinggi, selain menjadikan temasya itu sebagai platform  mempertingkat pencapaian masing-masing. 

“Semoga SAGA Tawau 2025 meninggalkan kenangan manis, menyemai semangat  juang, dan melahirkan generasi atlet Sabah yang terbilang di persada negeri, negara  bahkan dunia,” katanya. 

Tamat