Ketua Menteri tinjau lokasi tanah runtuh, arah tindakan segera

PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan kerja kerja pembaikan jalan yang terjejas akibat tanah runtuh di laluan Penampang–Tambunan  dipercepatkan bagi menjamin keselamatan pengguna serta kelancaran perhubungan ke  kawasan pedalaman. 

“Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat. Kita mahu kerja-kerja  pembaikan ini disiapkan segera supaya penduduk tidak terus terjejas,” katanya selepas  meninjau lokasi kejadian di Kampung Pogunon, pada Sabtu. 

Sejurus tiba dari Kuching selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63  bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak , Hajiji terus ke lokasi tanah runtuh bersama  Timbalan Ketua Menteri III/ Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Menteri  Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon  Benedick; ADUN Kepayan, Datuk Jannie Lasimbang; serta Ketua Bahagian Gagasan Rakyat  Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung kerja 

kerja pembaikan yang sedang dijalankan. 

Hajiji mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, syarikat konsesi serta agensi berkaitan  untuk menambah jentera dan bekerja 24 jam bagi memastikan laluan dua hala dapat dibuka  semula dalam tempoh terdekat. 

“Saya berkesempatan untuk melawat jalan raya yang runtuh daripada bukit sebelah sana. Jadi  kita minta pihak JKR dan juga syarikat konsesi yang menyelenggara jalan ini supaya mengambil  tindakan segera. Dan kita diberi jaminan dalam satu atau dua hari ini mereka boleh selesaikan  laluan dua hala itu. 

“Sekarang boleh digunakan cuma satu hala. Jadi mereka akan kerja 24 jam. Kita berharap  pengguna jalan raya ataupun rakyat di kawasan ini supaya bersabar sedikit. Biar Kerajaan  mengambil tindakan sebaiknya,” jelasnya. 

Selain masalah jalan, Hajiji berkata, talian elektrik yang terputus akibat kejadian itu juga perlu  segera dipulihkan. 

“Manakala talian elektrik yang putus akibat itu, kita minta pihak Sabah Elektrik untuk mengambil  tindakan segera juga untuk menyambung bekalan ini. Dan saya sendiri akan berhubung dengan  CEO Sabah Electricity Sdn Bhd. Kita berharap mereka akan mengambil tindakan secepat  mungkin dalam masa terdekat ini,” katanya. 

Beliau turut mengarahkan Jabatan Air Sabah dan JETAMA memastikan bekalan air bersih  kembali normal di kawasan terjejas. 

Katanya, semua usaha bantuan itu akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana  Negeri bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyalurkan  bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa yang terkesan. 

Siasatan awal mendapati tanah runtuh berkenaan dicetuskan oleh curahan hujan lebat  berterusan selama tiga hari berturut-turut. Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran  (JPS) melalui laman Public InfoBanjir, taburan hujan tertinggi direkodkan sebanyak 23.4  milimeter dalam tempoh 15 minit dan 82.5 milimeter dalam tempoh sehari pada 11 September  lalu. Keadaan itu menyebabkan cerun di kawasan terbabit menjadi tidak stabil sehingga berlaku  runtuhan besar. 

Dalam pada itu, Hajiji turut menzahirkan rasa sedih dan simpati kepada keluarga mangsa tragedi  tanah runtuh yang mengakibatkan kematian apabila sebuah rumah tertimbus. 

“Saya menyampaikan simpati dan rasa sedih saya bagi pihak Kerajaan kepada keluarga yang  rumahnya runtuh dan ada yang tertimbus, meninggal dunia. Kita amat sedih kerana ini adalah  bencana yang di luar kawalan kita,” katanya. 

Hajiji memberi jaminan Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan ihsan khairat dan sokongan  untuk membina semula kediaman keluarga terjejas. 

“Kerajaan Negeri amat prihatin dengan nasib keluarga mangsa. Saya memberi jaminan bantuan  segera akan disalurkan,” tambahnya. 

JKR Sabah memaklumkan setakat jam 12.00 tengahari ini, beberapa lokasi di Jalan R500 Kota  Kinabalu–Keningau–Tenom masih terjejas akibat banjir dan tanah runtuh, namun kebanyakan  laluan sudah boleh dilalui dengan kawalan satu lorong sementara kerja pembersihan sedang  giat dijalankan. 

Sementara itu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri  Sabah, setakat jam 8 pagi, 13 September, seramai 437 mangsa daripada 128 keluarga masih  ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Beaufort,  Penampang dan Tawau. 

Di Beaufort, 154 mangsa daripada 53 keluarga kini ditempatkan di PPS Selagon. Sementara itu, di Penampang, seramai 224 mangsa daripada 64 keluarga ditempatkan di tiga  PPS iaitu Kompleks Sukan Penampang (39 orang), SK St Paul Kolopis (43 orang) dan Dewan  Huguan Siou (142 orang). 

Di Tawau, 59 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS Masjid Al-Aman selepas  bencana kebakaran. Secara keseluruhan, 23 kampung terjejas, dengan catatan satu kematian  akibat bencana. 

Tamat