Umat Islam perlu hayati sirah Rasulullah

SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengajak umat  Islam di negeri ini sentiasa menghayati sirah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar  dalam lisan dan sambutan semata-mata, tetapi melalui amalan hidup harian sebagai  umat yang bertanggungjawab dan berbakti demi agama, bangsa dan negara. 

Beliau berkata, sambutan ini bukan sekadar memperingati sejarah kelahiran junjungan  besar Nabi Muhammad SAW, tetapi juga sebagai penzahiran kecintaan terhadap  baginda SAW, serta komitmen untuk terus menjadikan sunnah Baginda dan Islam  sebagai Ad-din dalam membentuk masyarakat madani yang progresif, sejahtera dan  berakhlak mulia. 

“Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah dengan asas keimanan, keadilan  sosial dan perpaduan antara kaum. Inilah model yang patut kita contohi dan sesuaikan  dengan realiti Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik,  budaya dan agama. 

“Saya percaya, dengan kerjasama erat antara kerajaan, institusi agama, badan bukan  kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat, kita mampu membentuk umat madani yang  berdaya saing, berakhlak dan berilmu; serta bersatu padu ke arah kemajuan dan  kegemilangan negeri Sabah yang tercinta,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam perutusan perasmiannya sempena Majlis Perhimpunan  Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M yang  disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Dewan  Masyarakat Sandakan, di sini pada Jumaat. 

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri akan terus memperhebatkan  pendidikan agama, pengukuhan institusi Islam, serta pemerkasaan golongan belia dan  wanita, sesuai dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan dalam  aspek Pembangunan Modal Insan. 

“Justeru, tema Sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini iaitu Membangun Ummah  Madani amat bertepatan dengan cabaran serta harapan yang kita galas sebagai rakyat  dalam sebuah negeri yang berbilang suku kaum dengan kepelbagaian adat dan budaya,  serta kaya dengan sumber alam. 

“Ia juga melambangkan agenda utama kerajaan dalam membina masyarakat yang  seimbang dari segi spiritual dan material; masyarakat yang menjunjung nilai-nilai murni  Islam dalam konteks kemajuan, kemakmuran serta perpaduan,” katanya 

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah memutuskan acara sambutan  Maulidur Rasul peringkat negeri akan dibawa ke daerah-daerah lain khususnya bandar bandar utama di negeri ini. 

“Ini bermakna acara sambutan tidak hanya tertumpu di ibu negeri sahaja tetapi juga di  daerah dan bandar utama di negeri ini. Usaha ini memberi peluang kepada penduduk  setempat dapat menyertai atau mengambil bahagian dalam perhimpunan dan  perarakan yang sangat bermakna ini, bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin  negeri. 

“Kelmarin (Khamis) saya berpeluang meninjau pembinaan Pusat Islam Sandakan.  Pembinaan kompleks ini adalah idea Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman ketika  beliau menjadi Ketua Menteri pada tahun 2017. Justeru, kompleks ini bukan hanya  menjadi mercu tanda baharu di bandar ini malah mampu mengangkat syiar Islam di  negeri ini. 

“Insya Allah, Sandakan ini, akan terus kita bangunkan, selaras dengan pelan  pembangunan Hala Tuju SMJ, yang memfokuskan pembangunan yang holistik dan  inklusif, lebih-lebih lagi Sandakan, sebagai bandar kedua terbesar di Sabah, yang  berpotensi tinggi untuk terus dibangunkan dalam pelbagai sektor, khususnya  pendidikan, pelancongan, perniagaan dan perdagangan,” katanya. 

Tamat