Keupayaan pulih ekonomi bukti kerajaan GRS berfungsi dengan baik

PULAU BANGGI (KUDAT): Keupayaan memulihkan ekonomi negeri selepas terjejas teruk  akibat pandemik COVID-19 hingga mencatat peningkatan hasil yang ketara membuktikan  kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berfungsi dengan baik. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan pimpinannya  berusaha melakukan yang terbaik sejak lima tahun lalu dan merangcang dengan baik langkah  memulihkan ekonomi dalam tiga sektor utama, iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian. 

Katanya, melalui tiga sektor itu kerajaan GRS yakin mampu memulihkan ekonomi negeri dan  mengangkat aktiviti ekonomi hingga merekodkan hasil mencecah hampir RM7 bilion berbanding  RM4 bilion selama beberapa tahun sebelum itu. 

"Walaupun tahun pertama kita dilanda wabak COVID-19, dalam menghadapi keadaan itu, kita  telah rancang dan memperkenal hala tuju kita, membangunkan ekonomi Sabah untuk jangka  panjang serta merancang dengan teliti apa yang baik untuk Sabah. 

"Kerana itu kita bagi keutamaan waktu itu pulihkan ekonomi kita. Waktu COVID-19 ekonomi kita  teruk sekali, tapi kita pulihkan melalui sektor utama iaitu perindustrian, pelancongan dan  pertanian. 

"Kita tahu melalui tiga sektor ini kita boleh pulihkan ekonomi kita semula dan alhamdulillah kita  dapat pulihkan dan dapat angkat aktiviti ekonomi kita, malah hasil kita daripada bertahun lama  hanya RM4 bilion, tapi dalam tempoh saya, kita kutip hasil hampir RM7 bilion setiap tahun. 

"Ini menunjukkan kerajaan kita berfungsi sebagai kerajaan yang baik untuk rakyat," katanya  berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Skim Penambahan Bekalan Air Pulau Banggi bernilai  hampir RM62 juta di Dewan Terbuka Kobong, Pulau Banggi, pada Sabtu. 

Sehubungan itu, Hajiji menegaskan dakwaan pembangkang yang mengatakan kerajaan GRS  gagal adalah tidak benar, sebaliknya kegagalan berlaku dalam kerajaan terdahulu yang tiada  perancangan jelas untuk negeri. 

"Gagal apa kalau dapat pulihkan ekonomi, dapat tingkatkan hasil dan memperkenal pelbagai  inisiatif untuk rakyat. Sebaliknya yang gagal ialah mereka (pembangkang), saya mahu tanya  apa mereka buat di Pulau Banggi.  

"Dua tahun setengah perancangan pun tiada. Saya mahu rakyat Pulau Banggi jangan tertipu  lagi dengan mereka, kalau mereka datang beritahu, hanya sokong GRS," katanya. 

Beliau menegaskan, kerajaan mempunyai perancangan yang besar untuk Pulau Banggi  berikutan keistimewaannya sebagai sebuah pulau yang besar dan berpotensi dibangunkan  dalam pelbagai sektor.

"Kita mahu bangunkan Pulau Banggi ini kerana ia istimewa, mempunyai potensi pelancongan  dan ekonomi serta pembangunan yang lain.  

"Kita ada perancangan merapatkan lagi hubungan dengan negara jiran melalui perdagangan  barter (tukar barang) dan kita minta Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia (Utusan Khas BIMP EAGA) dan Ahli Parlimen kita usahakan ini. 

"Kalau ada hubungan 'barter trade' atau perdagangan dengan sebelah sana, yang tidak jauh  dari sini, ia boleh merancakkan lagi aktiviti ekonomi kita. Jadi potensi Pulau Banggi ini tinggi  sekali, inilah pulau yang istimewa di Sabah," katanya. 

Sejajar dengan perancangan itu, katanya kerajaan mempertimbangkan permintaan Ahli Dewan  Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin untuk menaik taraf status  daerah kecil Banggi kepada sebuah daerah penuh. 

Selain itu, Hajiji turut meluluskan permintaan untuk membina sebuah dewan di pulau ini dengan  peruntukan RM6 juta dan dewan kebudayaan masyarakat Bonggi bernilai RM1 juta. 

Katanya, apa yang dilakukan oleh kerajaan itu adalah atas keprihatinan terhadap keperluan  rakyat di Pulau Banggi yang masih memerlukan banyak perhatian daripada kerajaan. 

"Inilah keprihatinan kerajaan dan tahukah saudara di Pulau Banggi ini, sejak kita memerintah  banyak inisiatif kita jayakan, bukan saja membina projek yang besar tetapi juga untuk rakyat kita  yang susah di bawah," katanya. 

Tamat