KM: GRS tidak pernah aniaya pegawai lantikan Warisan

KUDAT: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah menganiaya mana-mana  pegawai atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi kerajaan negeri yang dilantik oleh  kerajaan Parti Warisan sebelum ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mendedahkan ketika mula-mula  dilantik ke jawatan itu kira-kira lima tahun lalu, beliau menemui pegawai terbabit dan  menyatakan supaya mereka terus berkhidmat untuk kerajaan. 

Katanya, ia berbeza dengan pendekatan yang dibuat oleh kerajaan Warisan ketika mereka  berkuasa selama lebih dua tahun sebelum ini yang banyak mencantas, berdendam serta  menekan sesiapa saja yang tidak sehaluan. 

"Apabila mereka (Warisan) ambil kerajaan, bukan mereka fikir rakyat, tapi mereka cantas,  dendam dan tekan orang. Saya jadi Ketua Menteri hampir lima tahun, saya tidak pernah aniaya  satupun walau ia dilantik oleh Warisan,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Ketua  Menteri Sabah di Grand Ballroom Kudat Golf & Marina Resort, Kudat pada Jumaat. 

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir Shahelmey  Yahya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong dan ADUN  Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari. 

Beliau turut menjelaskan semua masalah air yang berlaku di Sabah ketika pentadbiran kerajaan  GRS yang sebenarnya berpunca daripada tindakan kerajaan Warisan sebelum ini menamatkan  lapan syarikat konsesi air. 

"Kenapa kita ada masalah sekarang ini terutama masalah air? Tahukah kamu apabila Warisan  ambil alih kerajaan, lapan syarikat konsesi yang menjaga air mereka tamatkan, mereka potong.  Akibatnya syarikat terbabit bawa perkara itu ke mahkamah dan kerajaan rugi bayar RM315 juta  kepada mereka, tiada faedah- faedah. 

Bagaimanapun, katanya kerajaan GRS pimpinannya sekarang tetap mengambil tanggungjawab  melaksanakan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah itu. 

"Sekarang kerajaan yang bertanggungjawab, kita laksanakan untuk naik taraf loji air, ada  menterinya di sini, kita belanja RM300 juta untuk kita laksanakan dan di Papar RM380 juta naik  taraf loji Kogopon dari 40 juta liter sehari (JLS) ke 80 JLS dan akan siap tahun depan. 

"Di Tawau dan tempat lain juga kita bagi peruntukan untuk atasi masalah air. Jadi ini rakyat  mesti tahu, jangan dengar di media sosial kata GRS gagal, air tiada, jalan berlubang dengan  muka Hajiji keluar di sana," katanya.

Hajiji berkata, perkara yang sama berlaku terhadap Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang  mengalami kelewatan lebih empat tahun selepas syarikat konsultan untuk projek itu dihentikan  ketika kerajaan Warisan berkuasa. 

Katanya, Warisan tidak melakukan perubahan yang baik sepanjang dua tahun lebih berkuasa  tetapi menyalahkan kerajaan sekarang apabila mereka sudah tidak berkuasa. 

Atas sebab itu, Hajiji meminta rakyat Sabah supaya menjadikan Pilihan Raya Ke-17 (PRN17)  yang tidak lama lagi sebagai peluang keemasan untuk mengekalkan kerajaan GRS-Pakatan  Harapan (PH) yang dipimpinnya. 

"Jangan sia-siakan peluang ini, kalau kerajaan itu tolong rakyat terutama yang miskin, yang di  bawah, pelajar dan sebagainya, angkat ekonomi, industri kita, kenapa kita mesti tolak pada  pilihan raya nanti. 

"Saya harap rakyat kita kali ini bagilah kepercayaan kepada calon GRS yang kita letak di mana  saja. InsyaAllah kita akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti, percayalah," katanya. 

Tamat