Borneo VeGO E-Pengangkutan yang dibangunkan usahawan Sabah dilancarkan

KOTA KINABALU: Borneo VeGO E-Pengangkutan iaitu aplikasi e-hailing pertama yang  diasaskan dan dibangunkan sepenuhnya oleh usahawan tempatan Sabah, akan  membuka lebih banyak peluang keusahawanan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata, ini juga membuktikan bahawa usahawan Sabah mampu berdiri setaraf  dengan pemain global, bukan sekadar dari segi visi, malah dalam pelaksanaan inovasi  berteknologi tinggi. 

“Tahniah kepada Koperasi Usahawan Pengangkutan Borneo Berhad (KUPBB) atas  kejayaan melancarkan Borneo VeGO E-Pengangkutan ini. Usaha ini selaras dengan  agenda kerajaan negeri untuk memperluas ekonomi digital, meningkatkan  kebolehpasaran rakyat, serta memodenkan sektor perkhidmatan. 

“Inisiatif ini membuka laluan kepada lebih banyak peluang keusahawanan, terutamanya  dalam sektor pengangkutan yang semakin berkembang pesat. Saya dimaklumkan,  KUPBB mempunyai matlamat jangka panjang untuk melibatkan lebih ramai pemandu  tempatan, khususnya dari komuniti luar bandar di Sabah dan Sarawak, supaya dapat  menjana pendapatan secara mampan melalui platform ini. 

“Justeru, Borneo VeGO bukan sekadar sebuah aplikasi e-hailing. Ia adalah simbol  keberanian koperasi tempatan memanfaatkan teknologi demi memperkasakan komuniti  dan menjana peluang ekonomi baharu,” katanya sempena Majlis Pelancaran Borneo  VeGO E-Pengangkutan di Padang Merdeka di sini, pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima  Masidi Manjun. 

Beliau turut barharap agar perkhidmatan Borneo VeGO ini akan berkembang meliputi  penghantaran makanan, minuman, dan barangan keperluan harian, sekali gus  membantu peniaga kecil dan sederhana. 

“Langkah ini bukan sahaja memudahkan kehidupan rakyat, malah memperluas pasaran  untuk usahawan tempatan. Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha seperti ini  kerana ia membantu merancakkan ekonomi tempatan, mengurangkan kadar  pengangguran, serta meningkatkan mobiliti rakyat dengan lebih efisien dan selamat,”  katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan,  swasta, masyarakat awam dan komuniti perniagaan untuk menyokong Borneo VeGO. 

“Saya yakin, pelancaran Borneo VeGO hari ini akan membuka ruang ekonomi baharu  kepada lebih ramai anak muda dan inovator Sabah,” katanya. 

Tamat