KM: Semangat Antanom sumber inspirasi perpaduan

TENOM: Rakyat negeri ini, khususnya generasi muda diseru supaya meneladani  semangat perjuangan pahlawan Murut terbilang, Datuk Seri Panglima Ontoros bin Endoi  @ Antanom, sebagai sumber inspirasi untuk memperkukuh perpaduan dan  mempertahankan maruah negeri. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Antanom bukan sahaja  simbol keberanian masyarakat Murut, malah pejuang sejati yang berjuang  mempertahankan hak semua rakyat tanpa mengira kaum. 

“Perjuangan Antanom tidak berasaskan sentimen suku bangsa, tetapi demi membela  hak dan maruah semua masyarakat pada zamannya. Jiwanya lebih besar daripada  sempadan etnik,” katanya pada kemuncak Perayaan Pesta Ilau Kalimaran Kali ke-19 di  Dataran Pekan Kemabong pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri  Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr.Joachim  Gunsalam. 

Hajiji berkata, perjuangan Antanom membuktikan betapa besarnya nilai sebuah tanah  air dan harga diri rakyat yang wajar dipertahankan.  

Menurutnya, walaupun lahir sebagai pahlawan Murut, semangat juang dan  pengorbanannya terhadap negeri ini perlu menjadi milik bersama seluruh rakyat Sabah. 

Beliau menegaskan, Tenom yang kini pesat membangun sebagai sebuah daerah  pelbagai etnik hanya akan terus makmur jika rakyatnya mengutamakan keharmonian  dan kestabilan politik.  

Katanya, kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian akan membawa keyakinan dan  penghormatan kepada Sabah di peringkat nasional, sekali gus memastikan limpahan  kemakmuran ekonomi dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh. 

“Sabah adalah rumah kita. Rumah ini hanya akan terjaga dengan baik jika diurus oleh  kepimpinan yang benar-benar memahami dan menjiwai aspirasi rakyatnya,” tegasnya.

Hajiji turut menekankan bahawa kestabilan politik adalah faktor penting untuk  memastikan dasar pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar, selaras  dengan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

Beliau berkata, Warisan budaya perlu dipertahankan dan mengajak generasi muda  memainkan peranan aktif memelihara seni, adat dan warisan nenek moyang agar tidak  hilang ditelan arus kemodenan.  

“Kemajuan teknologi tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengabaikan warisan yang  menjadi identiti masyarakat. Nilai-nilai luhur budaya mesti diwarisi dari satu generasi ke  generasi berikutnya. Semangat ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ perlu terus disemarakkan,”  katanya. 

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penganjuran perayaan  kebudayaan seperti Pesta Ilau Kalimaran kerana ia bukan sahaja memartabatkan  warisan, malah mengukuhkan jati diri rakyat Sabah sebagai sebuah masyarakat  berbilang kaum yang harmoni. 

Hajiji berkata, pests itu juga menjadi medan menyemarakkan semangat kebersamaan  dan saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai etnik, sekali gus memperkukuh  asas kestabilan politik dan kemajuan negeri. 

Tamat