KM hadir Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga  Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menghadiri Majlis Jamuan  Makan Tengah Hari bersama pemimpin dan perwakilan yang menghadiri Persidangan  Agung Tahunan 2025 parti itu di Sabah International Convention Centre (SICC) pada  Jumaat. 

Majlis yang berlangsung di Dewan Sipadan itu menghimpunkan kepimpinan utama dan  perwakilan parti dari seluruh negeri sebagai pembuka gelanggang kepada persidangan  tiga hari yang bermula hari ini hingga Ahad. 

Majlis turut diserikan dengan Perkongsian Pencapaian dan Hala Tuju Industri Minyak  dan Gas Sabah oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun  yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat. 

Majlis jamuan ini menjadi pentas memperkukuh silaturahim antara pucuk pimpinan dan  akar umbi parti itu menjelang persidangan yang dijangka membincangkan pelbagai isu  pembangunan negeri, pengukuhan struktur parti serta kesiapsiagaan menghadapi  pilihan raya akan datang. 

Terdahulu pada sebelah pagi, Hajiji meluangkan masa menghadiri Seminar Penerangan  Siri 3 di Dewan Sipadan SICC. 

Turut hadir Naib-Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Dr. Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif,  Datuk Rubin Balang dan Datuk Masiung Banah, Ketua Pergerakan Wanita Negeri,  Datuk Redonah Bahanda, Ketua Pemuda Negeri, Datuk Fairuz Renddan, Ketua  Beliawanis Negeri, Cik Emmie Datuk Martin Idang, Setiausaha Agung, Datuk Mohd.  Razali Razi, Bendahari Agung, Dato' Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar, Ketua  Penerangan Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT)  parti itu. 

Tamat