Sabah perkasa sektor industri kreatif

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkasa sektor industri kreatif  tempatan sebagai pemacu baharu ekonomi dan pemangkin pembangunan naratif  budaya Borneo ke persada nasional serta antarabangsa. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri  melalui Pelan Induk Sabah Maju Jaya (SMJ) memberi tumpuan kepada pembangunan  ekonomi digital dan industri berasaskan pengetahuan, termasuk kandungan kreatif. 

Katanya, beberapa usaha sedang giat dijalankan untuk menaik taraf fasiliti kreatif serta  menyokong pusat latihan dan inkubator kandungan di Kota Kinabalu, Keningau dan  Sandakan, yang akan diselaraskan melalui kerjasama erat dengan agensi Persekutuan  seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menyediakan  Dana Kandungan Kreatif (DKK) untuk menyokong industri kreatif tempatan. 

“Dana ini penting untuk membantu penggiat seni dan produksi menghasilkan kandungan  beridentitikan Sabah, sekali gus mengangkat cerita rakyat, sejarah dan kepelbagaian  bahasa sukuan kepada khalayak lebih luas,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat  Setuju Terima Dana Kandungan Kreatif (DKK) Sabah di Hotel Promenade pada Selasa. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk  Nizam Abu Bakar Titingan. 

Hajiji berkata, DKK yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi  Kementerian Komunikasi dan FINAS membuka ruang luas kepada rakyat Sabah untuk  mengetengahkan kisah, budaya dan warisan mereka melalui pelbagai medium seperti  filem, dokumentari dan program televisyen. 

“Sabah memiliki kepelbagaian sosiobudaya yang luar biasa – dengan lebih 30 etnik dan  lebih 200 sub etnik. Ini menjadikan negeri ini antara wilayah terkaya dari segi budaya  lisan, visual dan naratif, yang wajar diberi perhatian sebagai sumber kandungan  autentik. 

“Malah, keindahan semula jadi Sabah sama ada di darat, laut mahupun pergunungan  turut memberi kelebihan besar untuk diterjemahkan dalam kandungan kreatif yang  mampu menarik perhatian penonton tempatan dan luar negara,” katanya.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil  serta warga kementerian itu dan FINAS atas kesudian memilih Sabah sebagai lokasi  penganjuran program berimpak tinggi itu. 

Beliau menyifatkan penganjuran itu sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Persekutuan  untuk memperluas ekosistem kreatif negara di luar Lembah Klang, selain mengiktiraf  potensi Sabah dan Sarawak bukan sekadar lokasi penggambaran tetapi sebagai pusat  penciptaan kandungan bernilai tinggi. 

“Inisiatif seperti Dana Program TV (Borneo) dan Dana Dokumentari bersama BORNEO  TV adalah langkah strategik yang meletakkan Borneo sebagai jantung kepada  kandungan yang segar dan asli. Kita mahu melihat lebih banyak karya kreatif yang lahir  dari bumi Borneo – bukan sahaja untuk Malaysia, malah untuk dunia,” katanya. 

Hajiji turut memuji pencapaian anak muda Sabah dalam penghasilan karya-karya  berkualiti menerusi platform seperti Sabah Film Lab, Mini Film Fest, dan Festival Filem  Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) yang berjaya menarik perhatian penonton dan juri  di dalam dan luar negara. 

“Saya menyeru lebih ramai anak muda khususnya dari luar bandar supaya berani  mencuba dan memanfaatkan peluang dana ini. Kisah kampung halaman, sejarah  keluarga dan budaya tempatan boleh menjadi karya besar jika diterjemah dengan baik,”  katanya. 

Hajiji juga menyeru agar kandungan kreatif dimanfaatkan sebagai jambatan perpaduan,  inspirasi pembangunan dan cerminan budaya Sabah dalam kerangka Malaysia  MADANI. 

Tamat