KM: Sabah berwajah baharu jika GRS diberi mandat

PENAMPANG: Sabah mampu berubah wajah menjadi sebuah negeri yang lebih maju,  makmur, aman dan sentosa jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus diberi mandat  oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 akan datang, kata Ketua Menteri, Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau menegaskan, selama hampir lima tahun memimpin Kerajaan Negeri, pelbagai  pencapaian penting telah dicapai, termasuk pemulihan ekonomi negeri dan peningkatan  pelaburan serta hasil kerajaan negeri secara signifikan. 

“Ketika kita mengambil alih pentadbiran negeri pada September 2020, Sabah berdepan  situasi ekonomi paling buruk dalam sejarah.  

“Namun, dengan perancangan teliti dan pelaksanaan Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya  (SMJ 1.0), kita bukan sahaja berjaya memulihkannya, malah melonjakkan prestasi  ekonomi negeri ke tahap yang amat membanggakan,” kata Pengerusi GRS itu ketika  menyempurnakan penutupan Konvensyen PBS-STAR 2025 di Hongkod Koisaan,  Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) pada Sabtu. 

Menurut Hajiji, antara pencapaian utama kerajaan GRS termasuk Keluaran Dalam  Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada 2024 meningkat kepada RM84.3 bilion, berbanding  RM83.2 bilion pada 2023. 

“Kutipan hasil negeri selama tiga tahun berturut-turut iaitu 2022, 2023 dan 2024 hampir  mencecah RM7 bilion, berbanding hanya RM3.59 bilion pada 2020. Rizab Kerajaan  Negeri kini telah mencecah RM8.6 bilion.Pelaburan domestik dan asing yang berjaya  dibawa masuk ke Sabah sejak 2021 pula berjumlah RM35.38 bilion. 

“Semua ini adalah petunjuk ekonomi yang sihat dan bukti keupayaan serta  kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan GRS. Tiada siapa yang boleh  menafikannya. Hanya pembangkang sahaja yang memilih untuk menutup mata dan  menafikan fakta-fakta ini,” katanya. 

Menurut Hajiji, GRS bukan sahaja berupaya menjana kemajuan ekonomi, tetapi turut  komited dalam menyempurnakan pembangunan infrastruktur asas, membasmi  kemiskinan tegar dan mensejahterakan kehidupan rakyat seluruhnya.

“Insya-Allah, jika GRS terus diberi mandat dalam pilihan raya akan datang, kita akan  pastikan semua rancangan pembangunan yang telah dirangka dapat dilaksanakan  sepenuhnya – daripada bandar hingga ke pedalaman,” katanya. 

Beliau turut menekankan bahawa dasar Hala Tuju SMJ bukan sekadar dokumen, tetapi  satu pelan strategik jangka panjang yang menyeluruh merangkumi pembangunan  sumber manusia, pengurusan hasil bumi dan kecekapan pentadbiran. 

“Dengan iltizam politik yang kuat, ditambah dengan iklim ekonomi yang semakin baik  serta kestabilan politik yang kita sama-sama perjuangkan sejak 2020, saya yakin Sabah  akan melangkah jauh ke hadapan sebagai negeri yang maju, aman dan makmur,”  katanya. 

Hajiji juga mengingatkan seluruh pimpinan dan ahli GRS supaya terus mempertahankan  perjuangan gabungan itu dalam menghadapi cabaran masa depan, tohmahan  pembangkang serta gerakan terselindung yang bertujuan melemahkan kekuatan politik  GRS. 

Katanya, kejayaan pentadbiran GRS menyebabkan pihak pembangkang tidak senang  dan berterusan melakukan serangan politik bersifat destruktif, termasuk penyebaran  dakyah palsu, penipuan dan fitnah terhadap kerajaan serta pemimpin-pemimpinnya. 

“Mereka tidak akan berhenti. Mereka cemburu dan irihati terhadap kejayaan yang kita  capai. Mereka mahu melihat kita gagal, lemah dan jatuh.  

“Justeru, saya ingatkan, rumah kita, kita jaga. GRS ini rumah kita, tempat kita berlindung  dan mengatur perjuangan. Kalau bukan kita sendiri yang menjaganya, siapa lagi yang  boleh kita harapkan?” katanya . 

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Konvensyen PBS-STAR 2025 sebagai satu detik  bersejarah yang memperkukuh muafakat politik tempatan, sekali gus memberi isyarat  jelas bahawa GRS bersedia menghadapi PRN Ke-17 dengan barisan kepimpinan yang  teguh, bersatu dan berwibawa. 

Menurutnya, kerjasama erat antara dua parti tempatan – Parti Bersatu Sabah dan Parti  Solidariti Tanah Airku (STAR) – adalah lambang kematangan politik yang meletakkan  kepentingan rakyat dan negeri Sabah mengatasi perbezaan fahaman. 

“Konvensyen ini bukan sahaja memperlihatkan semangat penyatuan dalam kalangan  parti tempatan yang punya sejarah dan prinsip tersendiri, malah membuktikan bahawa  GRS mampu melangkah lebih jauh sebagai gabungan politik yang benar-benar mewakili  aspirasi rakyat Sabah,” katanya. 

Tamat