Bulan Dakwah perkukuh nilai Islam, semarak perpaduan ummah

KOTA KINABALU: Program Bulan Dakwah bukan sekadar pengisian keagamaan  tahunan, sebaliknya satu inisiatif bersepadu yang mampu memperkukuh nilai Islam,  mempertingkatkan amalan ibadah dan memupuk perpaduan ummah di Sabah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, program yang  berlangsung sepanjang bulan Muharam hingga Rabiulawal itu merupakan platform  terbaik untuk menyemarakkan dakwah Islamiah melalui pendekatan yang inklusif dan  menyeluruh. 

“Pelaksanaan Program Bulan Dakwah ini bukan sahaja mengajak umat Islam  meningkatkan amal ibadah secara konsisten dan berdisiplin, malah turut memberi  penekanan terhadap aspek perpaduan, kerja berpasukan serta pengukuhan ukhuwah  dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya semasa merasmikan Program Bulan  Dakwah Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja  Raya Negeri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri amat menggalakkan pelaksanaan aktiviti dakwah secara  bersepadu.  

“Pelbagai pengisian menarik sepanjang program seperti Wacana Pemikir, Ceramah  Agama, Kursus Muamalat, Bicara Wanita, Fiqh Kenegaraan, Street Dakwah dan  Kembara Maulidur Rasul mampu memberi impak besar kepada masyarakat,” katanya. 

Beliau menyarankan agar semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan, termasuk  NGO Islam serta pihak media, bersama-sama memainkan peranan aktif dalam  mempromosikan aktiviti dakwah dan pengukuhan nilai keagamaan. 

“Program Bulan Dakwah ini tidak harus dilihat sebagai aktiviti semata-mata, sebaliknya  menjadi wahana membentuk masyarakat yang seimbang dari aspek rohani, jasmani,  emosi dan intelek,” katanya. 

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada para ilmuwan dan penceramah yang  terlibat, termasuk Timbalan Mufti Negeri Pahang, Sahibul Fadhilah Dato’ Ustaz Badli 

Shah Alauddin yang menyampaikan kupasan menarik dalam Wacana Pemikir  mengenai seni dakwah melalui karya tokoh agung negara, Allahyarham Tan Sri P.  Ramlee. 

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA)  atas penganjuran program tersebut yang disifatkan selari dengan aspirasi Sabah Maju  Jaya dan konsep Malaysia Madani. 

Tamat