Borneo.TV angkat naratif Sabah ke peringkat global

KOTA KINABALU: Sabah terus mengorak langkah dalam dunia penyiaran digital apabila  Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melancarkan Borneo.TV,  sebuah platform penstriman baharu yang mengetengahkan wajah, suara dan budaya  negeri ke peringkat antarabangsa. 

Platform dengan slogan “Cerita Sabah di Mata Dunia” (“Sabah in the Eyes of the World”)  itu bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli,  seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah melalui pendekatan digital yang  lebih moden, fleksibel dan global. 

“Ini bukan sekadar pelancaran media digital, tetapi satu pentas untuk anak-anak Sabah  berkarya dan membentuk citra negeri melalui naratif sendiri,” katanya ketika berucap  pada Majlis Pelancaran Borneo.TV di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada Selasa. 

Hajiji berkata, pelancaran Borneo.TV adalah langkah tepat dalam era media penstriman  Over-The-Top (OTT) yang tidak lagi bergantung kepada saluran konvensional, selain  memberi peluang kepada pencipta kandungan tempatan menembusi pasaran lebih  luas. 

“Perubahan gaya hidup masyarakat hari ini- daripada komunikasi hingga hiburan,  segalanya dipacu digital. Borneo.TV adalah respons tepat kepada perubahan ini dan  peluang untuk kita tampil dengan kandungan sendiri,” katanya. 

Menurutnya, kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan  Borneo.TV kerana ia bukan sahaja platform penyiaran, malah medium strategik  menyampaikan cerita sebenar rakyat Sabah kepada dunia. 

"Dunia penyiaran hari ini menuntut kreativiti, keberanian dan kepekaan terhadap  kehendak penonton. Saya mahu Borneo.TV jadi ruang untuk mencabar norma,  mengetengahkan idea baharu dan memperkenalkan wajah sebenar Sabah,” katanya. 

Hajiji turut menegaskan bahawa para petugas Borneo.TV harus melihat tugas mereka  bukan sekadar rutin teknikal, tetapi sebagai satu bentuk seni kreatif yang membina imej  negeri. Kandungan yang diterbitkan mesti membawa nilai, identiti dan naratif yang membina. 

Beliau turut menyeru penggiat seni, pengaruh digital serta pemain industri kreatif  tempatan agar memanfaatkan Borneo.TV sebagai pentas mengetengahkan karya asli  dan suara masyarakat Sabah secara inklusif dan berwibawa. 

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara  Kerajaan Negeri diwakili oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan IB Media  Consultant Work Sdn Bhd, syarikat pengendali Borneo.TV yang beroperasi tanpa  sebarang dana daripada kerajaan negeri. 

“Model pelaksanaan ini membuktikan komitmen dan kepercayaan sektor swasta  terhadap potensi penyiaran digital di Sabah. Saya yakin pendekatan ini akan  meletakkan Borneo.TV sebagai platform yang berdaya saing dan mampan,” jelasnya. 

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Sekretariat SMJ dan IB Media atas  kejayaan merealisasikan pelaksanaan Borneo.TV di bawah Pelan Hala Tuju Sabah  Maju Jaya 1.0, yang menekankan pembangunan sektor ekonomi kreatif sebagai salah  satu pemacu utama negeri. 

“Saya menyeru semua pihak-kerajaan, swasta dan masyarakat, untuk bersama  menyokong usaha ini dan menggunakan ruang ini untuk mencipta, berkongsi dan  menyampaikan naratif Sabah sebagaimana yang kita sendiri mahu dunia melihatnya,”  katanya. 

Tamat