KM: Mahu media jalankan tugas dengan integriti, berprinsip dan bertanggungjawab

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu  pengamal media menjalankan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip  kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab. 

Beliau berkata kejayaan dan infomasi pelaksanaan dasar-dasar kerajaan ini turut  bergantung kepada peranan penting media dalam menyampaikan maklumat secara  jelas dan berkesan kepada rakyat. 

Dalam konteks pembangunan negeri katanya, kerajaan terus komited dalam  melaksanakan pelbagai inisiatif yang memanfaatkan rakyat dan mempercepatkan  kemajuan Sabah menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. 

“Sebagai pihak yang mempunyai jalinan kerjasama serta hubungan erat dengan pihak  kerajaan, media turut berfungsi dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar-dasar  pembangunan kerajaan negeri khususnya di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju  SMJ. 

“Justeru, saya berharap kerjasama strategik ini terus dipertingkatkan dan hubungan baik  antara kita semua diperkukuhkan untuk membantu kerajaan menyebarluaskan  maklumat penting kepada rakyat berkaitan agenda pembangunan dan hala tuju  kerajaan negeri.  

“Laporan media juga membantu kerajaan mengetahui apa yang berlaku di peringkat  akar umbi serta rintihan rakyat. Sudah tentunya, kerajaan sentiasa mengalu-alukan  laporan dan liputan seperti ini daripada pengamal media - sebagai jambatan  penghubung antara kerajaan dan rakyat,” katanya sempena Majlis Kinabalu Press  Awards (KPA) 2025 di Grand Ballroom Magellan Sutera, di sini pada Ahad.  

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan  dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai. 

Beliau turut berharap agar media sentiasa memainkan peranan penting sebagai  penyedia maklumat yang dipercayai, penyampai berita yang sahih dan juga platform  untuk memperoleh info yang lebih cepat dan tepat kepada masyarakat.

Katanya, Kinabalu Press Awards yang dianjurkan Persatuan Wartawan Sabah dengan  kerjasama kerajaan negeri dan penaja lain adalah untuk mengiktiraf dan menghargai  komitmen serta keupayaan para pengamal media di negeri ini. 

“Majlis ini juga mampu menjadi platform terbaik bagi mendorong para pengamal media  untuk lebih bersemangat, fokus dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugasan  yang lebih telus serta beretika,” katanya. 

Sehubungan itu katanya, kerajaan tidak pernah mengabaikan peranan penting media  dalam masyarakat dengan memberikan sokongan berterusan kepada program seperti  Majlis KPA ini melalui sumbangan dari segi tajaan kewangan.  

“Kerajaan negeri amat menghargai dan memahami keperluan ini, malah bantuan tajaan  juga meningkat setiap tahun.  

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua pemenang, teruskan usaha cemerlang  dan jadikan kejayaan ini sebagai pemangkin untuk terus menyumbang kepada  pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat melalui laporan berita yang berwibawa  dan beretika,” katanya. 

Tamat