Hijrah tuntut ummah bersatu, berani berubah hadapi cabaran dunia

KOTA KINABALU: Umat Islam diseru agar menjadikan semangat hijrah sebagai asas  memperkukuh perpaduan dan keazaman untuk menghadapi cabaran baharu yang  semakin kompleks dalam dunia serba mencabar hari ini, khususnya ancaman  ketidakstabilan global dan kemelut geopolitik antarabangsa. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kemelut yang sedang  melanda beberapa wilayah di Timur Tengah termasuk Gaza, Iran, Lubnan dan Syria  bukan sekadar isu serantau, tetapi memberi kesan besar terhadap kestabilan politik  antarabangsa dan kesejahteraan ummah sejagat. 

“Peperangan berterusan dan serangan tentera Zionis Israel ke atas wilayah Islam bukan  saja melanggar undang-undang antarabangsa, malah mencabuli hak asasi manusia  secara terang-terangan.  

“Ini bukan isu kecil. Ia mampu mengubah sejarah dan geopolitik dunia,” katanya pada  Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M di  Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat. 

Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman dan isteri, Toh  Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin berkenan menghadiri majlis  sambutan itu. 

Hajiji berkata, umat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dalam menghadapi cabaran  baharu seperti ancaman Islamofobia, krisis kemanusiaan serta tekanan ekonomi dunia  yang semakin memburuk akibat agenda ‘Order Baharu Dunia’ (New World Order) yang  didorong kuasa besar barat. 

“Kita sedang berhadapan dengan cabaran terhadap tamadun ummah yang menuntut  kesatuan, keimanan yang jitu, kekuatan dalaman dan iltizam kolektif. Kita tidak boleh  lemah, berpecah atau hanya memandang dari jauh,” tegasnya. 

Beliau berkata, semangat hijrah yang dibawa Rasulullah SAW perlu dijadikan pedoman  dalam membina masyarakat Madani – masyarakat yang berteraskan keimanan, ilmu,  akhlak, keadilan dan kemanusiaan.

Menurutnya, membangun Ummah Madani tidak akan berjaya tanpa perubahan sikap  dan kesanggupan melakukan penghijrahan nilai – daripada lemah kepada kuat,  daripada mundur kepada maju, daripada berpecah kepada bersatu. 

“Hijrah itu perjuangan. Dan setiap perjuangan perlu ada pengorbanan. Sama ada dari  sudut sikap, masa, tenaga, wang ringgit atau prinsip. Inilah semangat yang harus  dihayati dalam menelusuri tahun baharu Hijrah 1447 ini,” katanya. 

Hajiji turut menyeru seluruh rakyat agar berhijrah menguasai ilmu dan teknologi,  membudayakan inovasi serta memperkukuh perpaduan dan amal kebajikan demi  kesejahteraan ummah secara menyeluruh. 

Beliau juga mengajak rakyat memperteguh tekad dan azam tahun baharu Hijrah dengan  menjadikan perubahan sebagai satu budaya yang mendasari kejayaan diri, keluarga,  masyarakat dan negeri. 

“Sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati sejarah, tetapi harus menjadi  pemangkin perubahan dan pembaharuan menuju kecemerlangan. Bersama kita hayati  semangat hijrah dan jayakan pembangunan ummah secara inklusif dan menyeluruh,”  katanya. 

Tamat