KM: Kerajaan terus pacu pembangunan holistik demi kesejahteraan rakyat

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pelaksanaan dasar  pembangunan yang inklusif dan menyeluruh menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam  usaha memastikan kemajuan berterusan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sejak diperkenalkan, dasar  pembangunan itu telah memberi impak yang ketara khususnya dalam aspek pemulihan  ekonomi, pelaburan, pertanian, pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat. 

“Alhamdulillah, kita menyaksikan perkembangan pelaburan yang semakin rancak dan kutipan  hasil negeri yang turut meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini bukti  keberkesanan pendekatan yang digerakkan kerajaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Menjunjung Kasih sempena Istiadat Pengurniaan  Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena  Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri  Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman di Istana Seri Kinabalu pada Sabtu. 

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian  yang menjadi antara penyumbang penting dalam menjamin keterjaminan makanan di Sabah. 

Katanya, antara inisiatif utama kerajaan termasuklah penubuhan Lembaga Padi dan Beras  Sabah (LPBS) serta pelancaran Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang bertujuan  meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras negeri daripada 24 peratus pada 2025  kepada 60 peratus menjelang 2030. 

“Ini adalah langkah strategik untuk memastikan Sabah lebih berdikari dalam pengeluaran  makanan asas, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import,” katanya. 

Beliau berkata, pembangunan modal insan, khususnya generasi muda, terus menjadi agenda  utama kerajaan menerusi pelbagai program pembangunan belia seperti latihan kemahiran,  pendidikan, keusahawanan, kepimpinan dan sukan. 

Katanya, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan penubuhan Majlis TVET Negeri Sabah sebagai  platform penyelarasan dan pemantauan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional bagi  memenuhi keperluan industri semasa. 

“Kita mahu memastikan belia Sabah dilengkapi ilmu dan kemahiran yang relevan untuk  menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Hajiji turut menegaskan bahawa hubungan baik dan kerjasama erat dengan Kerajaan  Persekutuan akan terus dipertahankan demi memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam arus  pembangunan nasional. 

Katanya, Kerajaan Negeri amat menghargai pelbagai bantuan dan inisiatif Persekutuan,  termasuk dalam aspek infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan keselamatan. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen kerajaan dalam  mempertahankan hak dan kedaulatan Sabah, termasuk kejayaan menolak tuntutan pihak luar  terhadap negeri ini di peringkat antarabangsa. 

“Kejayaan Malaysia menangkis tuntutan asing terhadap Sabah membuktikan bahawa  kedaulatan negeri ini tetap utuh di bawah Persekutuan Malaysia, dan ia memberikan keyakinan  serta kelegaan kepada seluruh rakyat Sabah,” katanya. 

Hajiji juga merakamkan ucapan junjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada Tun Musa  sempena ulang tahun kelahiran rasmi ke-74 dan mendoakan agar beliau serta Toh Puan  sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta dilimpahi keberkatan. 

“Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Sabah menjunjung kasih di atas kepimpinan dan jasa besar  Tuan Yang Terutama Tun. Doa kami agar Tun terus dikurniakan usia yang panjang serta  sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT,” katanya. 

Majlis penuh istiadat itu turut dihadiri pemimpin tertinggi kerajaan negeri, barisan penerima  darjah kebesaran, ketua-ketua jabatan serta dif jemputan. 

Tamat