Majlis Tahlil, Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji  Aman berkenan menghadiri Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena  sambutan ulang tahun kelahiran rasmi beliau yang ke-74 di Masjid Negeri pada Khamis. 

Majlis penuh berkat itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji  Haji Noor sebagai tanda penghormatan dan doa bersama untuk kesejahteraan Tun  Musa dan kemakmuran negeri Sabah. 

Majlis yang diadakan saban tahun ini bertujuan memohon keberkatan, kesejahteraan  dan perlindungan Allah SWT kepada Yang di-Pertua Negeri dalam memimpin negeri  serta mendoakan kemakmuran berterusan bagi rakyat Sabah secara keseluruhannya. 

Tun Musa tiba di perkarangan Masjid Negeri kira-kira jam 6.15 petang diiringi isteri, Toh  Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin dan disambut oleh para  pemimpin negeri serta para jemputan kehormat yang hadir. 

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji  M.Yahya, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir.  Shahelmy Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd  Arifin Datuk Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar  Untong, Pembantu-Pembantu Menteri dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan  persekutuan. 

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah disusuli Solat Sunat Hajat, sebelum  diteruskan dengan bacaan Surah Yassin, Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh  Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Suhaidi Haji Kuanting dan Mufti Kerajaan Negeri, SS  Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar. 

Solat Isyak berjemaah dilangsungkan kira-kira jam 7.48 malam sebelum para tetamu  dijamu dengan hidangan malam yang disediakan khas bagi meraikan keberangkatan  TYT. 

Tamat