Pembangunan modal Insan teras agenda ekonomi Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus meletakkan pembangunan modal insan  sebagai teras utama dalam menjayakan agenda ekonomi negeri, khususnya dalam  meneroka potensi besar sektor ekonomi biru yang semakin berkembang. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pendekatan ini penting  bagi memastikan rakyat Sabah memiliki kemahiran dan pengetahuan yang relevan  dengan tuntutan semasa, sejajar dengan perubahan landskap ekonomi dunia. 

“Dunia sudah berubah, dan kita juga perlu berubah. Kita tidak boleh lagi berpegang  kepada sistem lama. Justeru, modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi  amat diperlukan untuk memacu pembangunan negeri,” katanya ketika merasmikan  Sabah Blue Economy Skillfest 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),  pada Khamis. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri  Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim  Gunsalam. 

Katanya, menerusi pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri terus  merangka dasar-dasar pembangunan yang inklusif dan mampan dengan memberi  keutamaan kepada peningkatan kapasiti rakyat dalam menghadapi era ekonomi  baharu. 

“Sabah kaya dengan sumber laut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk  memastikan rakyat bersedia memanfaatkan potensi ini secara lestari dan berilmu,”  katanya. 

Menurutnya, sejak 2021 hingga 2024, sebanyak RM848.26 juta telah diperuntukkan  kerajaan negeri melalui empat saluran utama pendidikan, yang memberi manfaat  kepada hampir 245,953 penerima. 

Antaranya, Tabung Pendidikan Negeri Sabah sebanyak RM227.1 juta yang memberi  manfaat kepada 7483 penerima, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah sebanyak RM324.1  juta (13,640 penerima), Bantuan Pendidikan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan  Negeri (Tugas-Tugas Khas) berjumlah RM164.14 juta (210,918 penerima) serta  bantuan dan pinjaman Yayasan Sabah sebanyak RM132.92 juta (13,921 penerima). 

“Untuk tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan lagi RM497.54 juta bagi meneruskan  agenda pemerkasaan modal insan demi melahirkan generasi kompeten, berinovasi dan  berintegriti,” tegasnya. 

Hajiji turut memuji pencapaian HRD Corp yang berjaya melatih seramai 61,448 pekerja  di Sabah sepanjang tahun 2024, dengan pembiayaan melebihi RM58.2 juta. 

“Saya yakin dengan pelaksanaan program seperti Skillfest ini, lebih banyak peluang  pekerjaan baharu akan diwujudkan dalam sektor-sektor berkaitan ekonomi biru,”  katanya. 

Menurutnya, program Skillfest adalah antara usaha penting untuk memperkukuh latihan  kemahiran dalam sektor ekonomi biru, yang merangkumi industri seperti marikultur,  perikanan, tenaga laut, pelancongan marin serta penyelidikan dan pembangunan  teknologi lautan. 

“Skillfest 2025 menyasarkan penyertaan seramai 2,500 peserta dan merupakan  sebahagian daripada Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 – Sabah, yang tahun ini  menyasarkan lebih 67,000 penyertaan di seluruh negeri,” katanya. 

Beliau berkata, kerjasama strategik antara HRD Corporation dan Sekretariat Sabah  Maju Jaya (SSMJ) dalam penganjuran program ini wajar dipuji, kerana menyokong  matlamat kerajaan untuk memperluaskan akses pembelajaran sepanjang hayat kepada  seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang. 

Menurutnya, program ini juga merupakan kesinambungan kejayaan Sabah International  Blue Economy Conference (SIBEC) 2024, yang telah menarik perhatian global dan  meletakkan Sabah sebagai pemain utama dalam ekonomi biru serantau. 

Hajiji turut menyeru rakyat Sabah untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang  ditawarkan, dan berharap program sebegini diperluas ke seluruh negeri sebagai  sebahagian daripada ekosistem pembelajaran berterusan. 

Tamat