KM: Kepentingan memperluas capaian digital

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri amat menekankan kepentingan memperluas  capaian digital kepada semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar dan dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, kita yakin usaha ini dapat dipercepatkan. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata demikian semasa  menerima kunjungan hormat daripada Menteri Digital Malaysia, Tuan Gobind Singh Deo  di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis. 

Katanya, transformasi digital adalah antara komponen utama dalam pelan  pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya bagi merangsang  pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi serta meningkatkan kecekapan  penyampaian perkhidmatan awam. 

Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi Gobind ke Sabah,  termasuk menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian  Keempat (MED4IR) Negeri. 

Hajiji menyambut baik kunjungan tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada  Gobind Singh atas komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menyokong  agenda digital negeri. 

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri,  Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri  Panglima Sr.Haji Safar Untong, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan  Inovasi Negeri, Datuk Mohd.Hanafiah Mohd.Kassim dan pegawai kanan Kementerian  Digital Malaysia. 

Tamat