KM terima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China yang baharu

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin  hubungan strategik antara Sabah dan Republik Rakyat China akan terus diperkukuhkan  menerusi hubungan diplomatik serta pelbagai inisiatif pembangunan bersama. 

Ketua Menteri berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral  Republik Rakyat China di Kota Kinabalu yang baharu, Dr. Zhu Xinglong di Menara  Kinabalu pada Rabu. 

Dalam pertemuan itu, Hajiji mengucapkan tahniah atas pelantikan Dr. Zhu dan mengalu alukannya bertugas di Sabah.  

“Saya percaya kehadiran Dr. Zhu akan memberi lonjakan baharu kepada kerjasama dua  hala yang telah lama terjalin antara Sabah dan China, terutamanya dalam sektor  pelaburan, perdagangan, pelancongan, pendidikan dan lain-lain", katanya. 

Hajiji turut menekankan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan persekitaran  pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur bagi menarik lebih banyak syarikat China  untuk melabur di Sabah, khususnya di kawasan perindustrian strategik. 

Kunjungan sulung itu merupakan lawatan pengenalan Dr. Zhu sejak dilantik sebagai  Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, menggantikan penyandang  terdahulu, Dr. Huang Shifang. 

Tamat