Majlis Ekonomi Biru Sabah: Platform strategik perkasa agenda ekonomi biru Sabah

KOTA KINABALU: Sabah melakar satu lagi langkah penting dalam agenda pembangunan  mampannya apabila Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) secara rasmi ditubuhkan sebagai  platform penyelarasan dan pelaksanaan dasar strategik ekonomi biru negeri. 

Penubuhan MEBS telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah Siri 10 Tahun  2025, dan mesyuarat sulungnya dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor, telah diadakan di Menara Kinabalu pada Isnin. 

Hajiji dalam perutusannya semasa mempengerusi mesyuarat itu berkata, MEBS diwujudkan  sebagai usaha strategik Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan sektor ekonomi biru  Sabah dilaksanakan secara tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi  Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“Melalui MEBS, kita akan menyelaras dasar-dasar utama, meluluskan program berimpak tinggi  serta memantau pelaksanaan Kerangka Dasar dan Strategi Ekonomi Biru. Ia merupakan  pendekatan bersepadu yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya saing,” katanya. 

Menurutnya, MEBS juga akan memacu pemindahan teknologi dan inovasi dalam sektor maritim,  seiring keperluan pembangunan ekonomi moden yang menekankan kelestarian dan penerapan  teknologi canggih. 

Katanya, penubuhan MEBS merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara  agensi kerajaan, akademia, industri dan komuniti dalam usaha menjadikan Sabah sebagai  peneraju utama ekonomi biru di rantau Asia Tenggara. 

“Ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk mengangkat potensi laut Sabah  secara optimum, memperluas pelaburan dan menjamin kesejahteraan rakyat menerusi  pembangunan yang lestari dan tahan lasak,” tambahnya. 

Hajiji berkata, dengan langkah ini, Sabah kini berada di landasan yang lebih kukuh dalam  membina masa depan yang sejahtera berasaskan kemakmuran laut dan kekuatan ekonomi  maritim. 

Dalam mesyuarat pertama ini, Hajiji turut menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan  kepada lapan Ahli MEBS yang terdiri daripada barisan pimpinan tertinggi negeri. 

Mereka terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan  Industri Makanan, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Menteri Kewangan,  Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri dan Pengarah Unit  Perancang Ekonomi Negeri Sabah. 

Selain itu, tujuh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal turut menerima watikah pelantikan untuk  mengetuai pelbagai komponen teknikal MEBS, termasuk bidang penuaian sumber hidup,  perniagaan laut, kesihatan laut, penjanaan sumber baharu, perancangan marin, harta intelek,  dan pengurusan sungai. 

Pelantikan ini melibatkan pegawai kanan daripada kementerian dan agensi teknikal utama  negeri seperti Jabatan Tanah dan Ukur, Pusat Biodiversiti Sabah, dan Pejabat Hasil Bumi.  Mereka akan mengemudi pelaksanaan dasar dari aspek teknikal dan pentadbiran, memastikan  segala inisiatif berjalan lancar dan menyeluruh. 

Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) pula dilantik sebagai Urus Setia MEBS untuk menyelaras  pelaksanaan keputusan majlis secara efektif dan strategik. 

Tamat