Projek FOLUR letak Sabah di peta dunia bersama 27 negara lain

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Program Kesan-Kesan Sistem Penghasilan Makanan,  Guna Tanah dan Restorasi (Food Systems, Land Use and Restoration (FOLUR)) di Sabah  telah meletakkan negeri ini di peta dunia bersama 27 negara lain di bawah Program FOLUR  global.  

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, melalui kerjasama dengan  United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF),  Projek FOLUR melibatkan Pengurusan Landskap Bersepadu meliputi keluasan kira-kira 2.38 juta hektar, iaitu 12 daerah di Sabah, dijangka akan memberi manfaat kepada lebih  kurang 54,000 orang penduduk kawasan luar bandar.  

Beliau berkata, Projek FOLUR amat signifikan dalam usaha Sabah untuk menyeimbangkan  keperluan pembangunan pertanian dengan pemuliharaan alam sekitar serta sedang  melangkah ke arah sistem makanan yang lebih mampan, cekap dan inklusif.  

“Projek ini menyokong amalan pertanian lestari, khususnya dalam sektor kelapa sawit, di  samping memulihara kawasan hutan yang telah terjejas. Ini membolehkan kita  mengurangkan tekanan terhadap ekosistem hutan dan pada masa sama menjamin bekalan  makanan dan sumber pendapatan rakyat Sabah”, katanya pada Majlis Pelancaran Hari  Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Sabah di perkarangan Fakulti Perhutanan  Tropika Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan  Keusahawanan, Datuk Phoon Jin Zhe. 

Hajiji berkata, dalam jangka masa panjang, inisiatif itu akan menyokong matlamat iklim  memandangkan hutan penting dalam memerangi perubahan iklim melalui penyerapan  karbon. FOLUR akan menyumbang kepada komitmen Sabah terhadap perubahan iklim,  pemuliharaan biodiversiti dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development  Goal (SDG)) khususnya SDG 15: “Life on Land”. 

Menurutnya, Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka Pelan Induk Hutan (Statewide  Forest Master Plan) yang akan menyediakan pelan tindakan terhadap pengurusan sumber  hutan bagi tempoh 25 tahun akan datang, untuk kawasan hutan di seluruh Sabah.  

Beliau berkata melalui pelan ini, semua Kawasan Ekologi Sensitif (Ecological Sensitive  Area) tetap akan dilindungi, disamping meneruskan pembangunan sosio-ekonomi yang  mensejahterakan rakyat Sabah. Ini selaras dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0: 2021-2025 ) yang mengambil kira keperluan pembangunan jaringan  infrastruktur dan pembangunan hijau. 

Hajiji berkata, Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) yang ditubuhkan Kerajaan  Negeri merupakan penasihat yang berperanan sebagai platform perundingan dan  penyelarasan dasar berkaitan perubahan iklim, dengan beberapa inisiatif penting telah  dilaksanakan, iaitu menetapkan hala tuju dan menyelaras projek-projek mitigasi dan  adaptasi perubahan iklim di peringkat Sabah.  

Katanya, memandangkan sektor perhutanan memainkan peranan penting dalam  menangani perubahan iklim, Unit Perubahan Iklim dan Gas Rumah Hijau (GHG) telah  ditubuhkan di Jabatan Perhutanan Sabah.  

“Melalui SCAC, Sabah memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam tadbir  urus alam sekitar yang progresif dan berpaksikan kelestarian”, katanya. 

Beliau berkata, Kajian Kesan, Keterdedahan dan Penyesuaian Perubahan Iklim di Sabah  telah dijalankan pada tahun 2024, yang akan dijadikan sebagai rujukan untuk menggubal  Dasar Perubahan Iklim Sabah, agar selari dengan perkembangan tindakan iklim di peringkat  nasional.  

Menurutnya, Sabah sebagai negeri dengan kadar pelepasan karbon rendah, boleh  memanfaatkan status ini untuk menceburi ekonomi karbon rendah kerana negeri ini dapat  membangun dengan keperluan tenaga dan sumber yang minima dalam mengurangkan  impak terhadap perubahan iklim.  

Hajiji berkata, Sabah juga sedang dalam proses memuktamadkan Dasar Perubahan Iklim  Negeri yang berkonsepkan tadbir urus yang baik, peralihan saksama, berdaya tahan dan  pertumbuhan ekonomi mampan selari dengan Dasar Perubahan Iklim Malaysia 2.0.  

“Selaras dengan pembangunan dasar ini, Sabah akan menggubal Enakmen Perubahan  Iklim agar selari dengan pembangunan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara  (RUUPIN), yang kini sedang dimuktamadkan di peringkat nasional”, tegasnya. 

Menyentuh pindaan Enakmen Hutan baru-baru ini, beliau berkata aktiviti karbon berasaskan  hutan (Forest Carbon Activity) akan dikawal selia mengikut terma dan syarat tertentu, serta  sebarang dana dan pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti kredit karbon hutan akan  disalurkan terus kepada negeri.  

Katanya, perkara ini penting bagi menyokong usaha Kerajaan Sabah dalam mencapai  keseimbangan dan kemampanan pembangunan sosio-ekonomi dan pemuliharaan alam  sekitar pada masa hadapan.  

Hajiji menegaskan, aktiviti-aktiviti berkaitan dengan perubahan iklim di Sabah termasuk  pasaran karbon, mestilah didaftarkan, dipantau, dianalisa dan dilaporkan kepada SCAC  selaku focal point agenda perubahan iklim bagi Sabah, bagi membolehkan pemakluman  kepada kerajaan negeri dan penyertaan yang saksama oleh Sabah.  

Tamat