GRS-PH sebuah kerajaan peduli rakyat

SIPITANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan  Kerajaan GRS-PH sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat. 

Beliau berkata, ia sejajar dengan pendekatan kerajaan pimpinannya itu yang sentiasa  mengambil peduli soal masalah rakyat dan membantu mereka yang susah atau miskin. 

Katanya, walaupun kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha memajukan negeri dan  membangunkan ekonomi, ia tidak sekali-kali meminggirkan usaha membantu rakyat  yang memerlukan pembelaan. 

"Sebagaimana biasanya dalam bulan Ramadan, apapun yang kita lakukan bagi  mengimarahkan bulan ini, kita tidak boleh lupa mereka yang kurang mampu.  

"Itulah sebenarnya antara fadilat berpuasa supaya kita menginsafi bahawa ada  kalangan rakan kita yang memerlukan atau masih dalam keadaan susah. Kerana itulah  dalam bulan Ramadan ini pelbagai acara kita adakan bagi menyantuni rakyat yang saya  maksudkan ini. 

"Dalam kerajaan, kita mempunyai satu dasar atau polisi di mana kerajaan ini, saya  anggap sebagai kerajaan rakyat, kerajaan yang peduli masalah rakyat. Selain tumpuan  kita untuk membina atau membangunkan ekonomi kita dengan pelbagai cara, rakyat  miskin atau yang susah ini perlu dibantu," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua  Menteri di Masjid Imam Haji Awang Hashim, Sipitang pada Khamis. 

Hajiji berkata, sejajar dasar peduli rakyat yang diterapkan GRS-PH, kerajaan menggubal  polisi menyediakan bantuan kepada rakyat yang memerlukan, bermula dari anak yang  baru lahir hinggalah golongan dewasa. 

Katanya, bagi anak yang baru lahir, kerajaan menyediakan tabung pendidikan sebagai  bekalan apabila mereka memasuki alam persekolahan. 

"Kita wujudkan tabungan pendidikan kepada anak yang baru lahir. Mungkin ramai yang  tidak tahu perkata ini, tapi kita memang ada bantuan untuk mereka. Itulah kita panggil  kerajaan ini sebagai kerajaan peduli rakyat, kerana dari yang baru lahir hinggalah rakyat  yang tua dan tidak mampu kita bantu," katanya. 

Jelasnya, banyak sudah dilakukan kerajaan yang menjurus kepada peduli rakyat,  termasuk bantuan kewangan RM300 sebulan selama setahun kepada rakyat miskin  tegar pada tahun ini. 

Terbaru, katanya Kabinet Negeri pada Rabu meluluskan Bantuan Khas Kewangan  kepada penjawat awam negeri sebanyak RM500 untuk sambutan Aidilfitri bulan ini dan  RM500 lagi sempena Kaamatan pada Mei depan. 

Sementara itu, Hajiji berkata kedudukan Sipitang yang bersempadan dengan Sarawak,  selain dekat dengan Brunei dan Kalimantan, Indonesia memberi kelebihan kepada  daerah ini. 

Kedudukan strategik itu, katanya antara yang mendorong pelabur datang ke daerah ini  untuk melabur dalam industri minyak dan gas, khususnya di Taman Perindustrian  Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP). 

Hasilnya, katanya taman industri itu sudah penuh dan sekarang pihak berkuasa di  SOGIP memohon kawasan baharu untuk mengembangkan industri minyak dan gas di  daerah ini. 

"Di Sipitang, SOGIP sudah penuh dan ia memohon untuk tambah lagi kawasan tanah.  Kalau tiada tanah di sini, kita buka satu taman baharu dekat Beaufort, ini sudah  dibincang dalam Kabinet kerana tiada tempat untuk pelabur sudah. 

"SOGIP penuh ketika kerajaan GRS-PH, maknanya Sipitang mempunyai masa depan  cerah sebab kawasan ini nanti akan terbangun banyak aktiviti ekonomi. Dari situ aliran  kewangan dari aktiviti ekonomi mengalir kepada rakyat, peniaga restoran, gerai dan lain lain lagi, ramai yang akan mendapat manfaatnya nanti," katanya. 

Sempena majlis itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada  golongan asnaf, anak yati dan mangsa bencana banjir. 

Tamat