UPPM perlu mainkan peranan bantu kerajaan

KENINGAU: Pemimpin masyarakat khususnya Unit Pemimpin Pembangunan  Masyarakat (UPPM) memainkan peranan utama untuk membantu memperjelaskan  semua inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan ke peringkat akar umbi. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turut meminta pemimpin UPPM  untuk memberi kerjasama kepada semua wakil rakyat termasuklah pemimpin parti  komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan masing-masing. 

“Sebagai mata dan telinga kerajaan, khidmat pemimpin masyarakat seperti pegawai  UPPM dan pemaju mukim amat penting. Terus lipatgandakan usaha membantu wakil  rakyat dan ketua-ketua bahagian komponen dalam GRS dan PH. 

“Oleh itu amat penting untuk UPPM menjelaskan kepada rakyat apa yang telah  dilaksanakan dan bantuan atau inisiatif yang diberikan kerajaan negeri dalam tempoh  empat tahun. 

“Saya menegaskan perkara ini kerana seperti mana yang kita sedia maklum bahawa  tahun ini adalah tahun pilihan raya, justeru kita kena bersatu hati agar GRS diberi  kepercayaan sekali lagi dalam pilihan raya ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Unit Pemimpin Pembangunan  Masyarakat Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Kim Teck Cheong Consolidation  Berhad kali kedua tahun 2025 di Kompleks Sukan Keningau, di Keningau pada Khamis. 

Hajiji turut meminta kepada semua ahli parti komponen GRS termasuk Parti Gagasan  Rakyat Sabah supaya memberi sokongan yang padu kepada pemimpin-pemimpin GRS  terutama kepada mereka yang diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri  (PRN) nanti. 

“Saya tidak mahu ada yang sabotaj atau tidak memberi kerjasama. Jika saya dapat tahu  ada ahli terutama dari GRS yang tidak memberi sokongan kepada calon-calon GRS,  kita akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya. 

“Saya mahu GRS terus kuat dan kita terus bersatu hati dan memantapkan perpaduan  dalam kalangan parti komponen GRS,” katanya. 

Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus menyelesaikan masalah-masalah yang  dihadapi rakyat, termasuk masalah air yang kerap digunakan sebagai modal oleh  pembangkang di negeri ini. 

“Pembangkang sering menggunakan masalah seperti air untuk cakap kita sebagai  kerajaan gagal. Mereka pun tahu bahawa masalah ini kita warisi sejak dari dulu. 

“Namun sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita akan berusaha menyelesaikan  masalah-masalah ini. Tapi inilah pembangkang, mereka tiada modal lagi,” katanya. 

Tamat