Perpaduan dan kestabilan politik penting untuk majukan negeri

KOTA BELUD: Perpaduan dan kestabilan politik perlu terus dikekalkan kerana ia mampu  membawa lebih kemajuan di negeri ini, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji  Haji Noor. 

Beliau berkata banyak kejayaan dan inisiatif yang dibuat oleh kerajaan hari ini yang tidak  pernah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini. 

“Tiada siapa boleh menafikan bahawa sejak kita mengambil alih kerajaan, banyak kejayaan  kita capai daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan yang tidak pernah dibuat kerajaan  sebelum ini. 

“Daripada aspek ekonomi hinggalah kepada kesejahteraan rakyat dan pendidikan, telah  banyak kita buat. Malah, dasar mesra pelabur telah mewujukan beribu-ribu peluang  pekerjaan. 

“Oleh itu, jika ada perpaduan dan kestabilan politik, kita dapat memajukan negeri ini. Sebab  itu pentingnya perpaduan dan saya melihat bukan hanya masyarakat Bajausama atau yang  beragama Islam saja hadir pada majlis ini, tetapi juga turut dihadiri masyarakat lain termasuk  ketua-ketua gereja di Kota Belud,” katanya ketika berucap sempena Majlis Berbuka Puasa  bersama Ketua Menteri di Pekarangan Masjid Jamek Kampung Taun Gusi, di sini pada  Rabu. 

Ketua Menteri berkata, kejayaan dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan itu perlu  terus diuar-uarkan agar lebih ramai rakyat di peringkat akar umbi tahu usaha yang dibuat  kerajaan. 

“Saya mahu cakap ini (kejayaan hasil inisiatif kerajaan) kerana mungkin ada yang tidak  maklum dengan usaha-usaha kita. Ini kerana pembangkang sangat suka memfitnah dan  cakap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal,” katanya. 

Pada majlis Ketua Menteri turut melakukan gimik pelancaran Geran Program Perkhidmatan  Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) Mukim Rosok dan Mukim Keguraan sert menyerahkan  geran tanah kepada 55 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk. 

Sebanyak 16 kampung yang terlibat dalam menerima geran ini dengan jumlah keseluruhan  kawasan tanah sebanyak 1,559.8165 hektar bersamaan 3854.39 ekar. 

Tamat