JKR bertanggungjawab pantau, periksa jalan-jalan ROSAK di bandar, pekan

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) seharusnya bertanggungjawab membuat  pemantauan, pemeriksaan yang kerap dan rapi serta berjadual terhadap jalan-jalan  yang rosak di mana sekali pun, sama ada di bandar-bandar besar atau kawasan pekan.  

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan, jabatan itu jangan  menunggu sehingga berlaku kemalangan baru kelam-kabut bertindak.  

Katanya, beliau begitu sedih dengan viral kejadian seorang pengguna jalanraya  (menunggang motorsikal) maut gara-gara jalanraya yang dibiarkan berlobang yang  berlaku dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini. 

“Sementara perkara ajal dan maut itu adalah takdir yang telah ditentukan, tetapi jalan jalan yang rosak ini, tidak kira di mana sekali pun, di bandar-bandar besar atau kawasan  pekan, pihak JKR seharusnya bertanggungjawab membuat pemantauan atau  pemeriksaan yang kerap dan rapi serta berjadual. 

“Jangan tunggu sampai ada aduan atau arahan, baru mau bergerak! Ini adalah zaman  dimana segala-galanya berada di hujung jari. Silap sedikit, pasti ada yang tukang viral  sambil menyalahkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri.  

“Yang dilihat dan yang ditegur bukannya Kementerian atau Jabatan yang berkenaan,  tetapi Kerajaan dan Ketua Menteri”, katanya pada Majlis Amanat Tahun Baru 2025  Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam di Negeri Sabah di Sabah International  Convention Centre (SICC) pada Khamis. 

Hajiji berkata, begitu juga dengan isu air, isu elektrik, isu setinggan haram oleh golongan  PTI dan bermacam-macam lagi isu terkait kepentingan rakyat yang sepatutnya dapat  diatasi jika kita cekap, pantas dan tangkas dalam bertindak dan menunaikan kewajipan.  

Mengenai isu air, katanya, masalah itu yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu yang  tidak memahami isu bekalan dan pembahagian air, telah bertindak melakukan  rombakan dan perubahan drastik dalam jabatan berkenaan sehingga pegawai yang  berpengalaman dipindah, selain kontraktor sedia ada, diganti.  

"Akibatnya, sekarang bekalan air terputus-putus di sana sini, malah ada air tetapi masin.  Semuanya berpunca daripada masalah pengurusan bekalan air yang tidak cekap, dan  lebih memburukkan lagi keadaan, berlaku kecurian bekalan air yang berleluasa yang  sangat luar biasa, sehingga mencecah 60% air bersih kita hilang dicuri orang.

"60% non-revenue water (NRW) bukan sedikit. Lebih separuh air bersih kita hilang. Ini  tanggungjawab Jabatan Air untuk kenalpasti di mana dan bagaimana punca-punca  kehilangan itu berlaku. 

"Saya difahamkan bahawa 60% NRW itu kini berjaya diturunkan setelah dikenalpasti  beberapa kawasan yang terdapat penyambungan haram dengan menghentikan  penyambungan tersebut ke perkampungan setinggan haram. Persoalan saya, apa  jaminan penduduk setinggan haram tersebut tidak menyambung semula saluran air  berkenaan?", katanya. 

Katanya, Kementerian dan Jabatan yang terlibat sepatutnya bertindak pantas  menjelaskan kepada rakyat apa sebenarnya masalah yang berlaku dan dihadapi  sekarang. 

Beliau mengambil contoh, projek dan kerja-kerja memperbaiki Loji Rawatan Air Telibong  2, telah pun siap, tetapi bekalan air masih belum mencukupi kerana proses pemasangan  paip baharu yang menyalurkan air dari lori itu ke Sepanggar dan sekitar Kota Kinabalu,  masih dalam pembinaan, dan hanya akan siap sebelum akhir tahun ini.  

Menurutnya, untuk bekalan air kepada penduduk di sebelah Putatan, pihak Jetama  sedang membina Urgent Water Supply Scheme, iaitu loji baharu berkapasiti 5 juta liter  sehari (MLD). Projek ini dijangka siap pada bulan Mei nanti yang akan menghasilkan  pertambahan 5 juta liter sehari (MLD) khusus untuk kawasan sekitar Putatan. 

Katanya, Projek Loji Rawatan Air Kogopon 2 di Papar yang masih dalam pembinaan,  dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan yang akan meningkatkan kapasiti air  terawat untuk kawasan Papar dan juga Putatan.  

Hajiji berkata, bagi memastikan bekalan air yang konsisten untuk jangkamasa panjang,  Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat berkolaborasi membina Empangan  Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom, yang dijangka siap pada 2029.  

"Projek mega ini akan menjadi sumber bekalan air mentah, terutama ke beberapa  daerah utama di Sabah. Dengan projek ini juga aliran bekalan elektrik akan  diperluaskan dengan menghubungkan rantau selatan dan tenggara Sabah, sekali gus  mencipta rangkaian tenaga yang lebih stabil", tegasnya. 

Tamat