Sabah rangka Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri RMKe-13

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah merangka Hala Tuju Strategik Pembangunan  Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) sebagai langkah proaktif  untuk memacu ekonomi dan pembangunan negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, RMKe-13 yang akan bermula dari tahun 2026 hingga 2030, dirangka  mengambil kira dasar, pelan pembangunan dan Blueprint semasa, serta inisiatif-inisiatif  utama yang sedang diterokai, termasuk inisiatif Ekonomi Biru.  

Beliau berkata, agenda pembangunan negeri di bawah RMKe-13 juga turut diselaraskan  dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals  (SDG)) bagi memastikan pembangunan negeri yang inklusif dan lestari seiring dengan  komitmen di peringkat nasional dan global. 

Menurutnya, bagi memperkukuhkan inisiatif Ekonomi Biru, Mesyuarat Jemaah Menteri  pada minggu lalu, telah meluluskan penubuhan Taman Perindustrian Ekonomi Biru  (Blue Economy Industrial Park (BEIP)) di Kudat. 

"Ini menunjukkan Kerajaan Negeri amat serius dalam membangunkan sektor Ekonomi  Biru sebagai sumber baharu ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh rakyat,  khususnya dalam mencipta peluang-peluang pekerjaan untuk penduduk setempat. 

"BEIP ini dijangka berupaya mentransformasi bahagian utara Sabah, khususnya pekan  Kudat, menjadi "the new industrial township" yang berupaya menarik ramai pelabur dari  dalam dan luar negara, menerokai segala potensi yang berkaitan dengan Ekonomi Biru  seperti perikanan, pelancongan marin, farmaseutikal, marikultur dan tenaga boleh  diperbaharui", katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baru 2025 Ketua Menteri Bersama  Penjawat Awam di Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada  Khamis. 

Hajiji berkata, pembangunan negeri akan dilaksanakan secara holistik, meliputi aspek  ekonomi, sosial dan alam sekitar dibawah RMKe-13,  

Katanya, fokus utama akan diberikan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi melalui  tiga sektor ekonomi utama iaitu perindustrian, pertanian dan pelancongan; selaras Pelan  Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), disamping memperkukuh  infrastruktur dan utiliti bagi menyokong sektor-sektor ekonomi ini.  

Menurutnya, pembangunan inklusif merangkumi pembangunan wilayah dan  sosioekonomi yang seimbang akan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan yang  menyeluruh dan adil untuk setiap lapisan masyarakat. 

Selain itu, katanya usaha untuk meningkatkan kemampanan sumber asli dan  pemeliharaan alam sekitar juga ditekankan bagi menyokong pembangunan yang  seimbang dan lestari. 

Beliau berkata, dengan hala tuju pembangunan strategik serta pelaksanaan program  pembangunan yang berkesan dan teratur, pertumbuhan ekonomi negeri Sabah dijangka  akan berkembang pada kadar pertumbuhan purata antara 3.0 hingga 4.5 peratus dalam  tempoh pelaksanaan RMKe-13.  

"Strategi dan pelan pembangunan ini pasti dapat dicapai jika kita bekerja bersungguh sungguh dalam satu pasukan, disokong dengan suasana politik yang stabil dengan  semangat perpaduan dan keharmonian kaum, insyaAllah kita berupaya mencapainya",  tegas beliau. 

Hajiji berkata, secara keseluruhan, prestasi kementerian-kementerian, jabatan-jabatan  dan agensi-agensi kerajaan, adalah memuaskan. Namun, masih banyak ruang untuk  menambahbaik prestasi masing-masing.  

Malah beliau percaya, jika penjawat awam meletakkan sepenuh perhatian dan  memberikan yang terbaik kepada organisasi, daripada pucuk pimpinan kepada yang  serendah-rendah jawatan, maka organisasi akan bertambah maju dan cemerlang 

"Mulakanlah sikap yang positif ini sempena tahun baharu ini, demi memberikan yang  terbaik untuk organisasi dan Kerajaan", katanya. 

Menyentuh langkah-langkah pemerkasaan Perkhidmatan Awam di Sabah, Hajiji  berkata lebih 4,000 orang penjawat awam telah mengikuti latihan di dalam dan luar  negara, bertujuan meningkatkan kompetensi, kreativiti, dan daya saing dalam  menghadapi tuntutan kerja yang semakin kompleks dan dinamik pada masa kini. 

Katanya, dengan menggabungkan latihan bersifat tempatan dan global, komposisi  kualiti penjawat awam akan menjadi lebih dinamik, adaptif, dan berwawasan luas dalam  melaksanakan tanggungjawab masing-masing.  

Menurutnya, pada tahun 2024, seramai 1,960 orang penjawat awam, daripada pelbagai  skim perkhidmatan, telah menikmati kenaikan pangkat. 

"Kemajuan kerjaya yang melibatkan penyandang pelbagai skim perkhidmatan dalam  perkhidmatan awam negeri ini memastikan jawatan strategik dan bukan strategik diisi  oleh individu yang berkelayakan dan berkemahiran tinggi agar dapat mempertingkatkan  sistem penyampaian perkhidmatan", katanya. 

Tamat