SOGIP pemangkin pertumbuhan sektor tenaga, ekonomi Sabah

KOTA KINABALU: Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) akan  menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor tenaga yang amat penting untuk  pertumbuhan berterusan ekonomi negeri Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, SOGIP telah memperolehi banyak pelaburan termasuk berimpak tinggi  antaranya Syarikat Esteel untuk kilang keluli (Green Steel) dengan nilai pelaburan  berfasa sebanyak RM20 bilion.  

Beliau berkata, terbaharu Projek Hub Tenaga, Minyak dan Gas bernilai RM8.88 bilion  (USD2 bilion) iaitu kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation  (SOGDC) yang menguruskan SOGIP dan Gibson Shipbrokers Limited, sekaligus akan  menjadikan Sabah sebagai hub utama dalam sektor tenaga Asia Tenggara.  

Sebab itu katanya, kerajaan hari ini terus komited dalam memberikan sokongan penuh  kepada pelaburan yang mampu membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat  Sabah.  

“Saya yakin dengan kejayaan projek ini, ia akan menjadi pemangkin kepada  pertumbuhan industri minyak dan gas, sekali gus menjadikan Sabah sebagai hab  tenaga yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. 

“Kita bersyukur kerana Sabah kaya dengan sumber semulajadi seperti hutan, galian,  fauna, flora serta hidupan laut. Lokasi strategik, persekitaran politik stabil, sumber  semula jadi yang banyak, dan ekonomi yang pelbagai antara faktor menjadikan Sabah  sebagai pilihan sesuai untuk pelabur asing”, katanya pada Majlis Pelancaran Projek  Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum di SOGIP, di Sabah  International Convention Centre (SICC) pada Selasa. 

Katanya, Sabah yang berpotensi besar dalam sumber minyak dan gas, sudah pasti  projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum, milik  Petroventure Energy Sdn.Bhd yang dijangka bermula pada bulan April ini, akan  membantu dalam peningkatan ekonomi negeri ini.  

Menurutnya, projek itu bakal menyaksikan pembinaan loji penapisan minyak berkapasiti  sehingga 150,000 tong sehari (BPD) serta kemudahan penyimpanan minyak sebanyak  3 juta meter padu bagi minyak mentah dan produk petroleum yang telah ditapis. 

“Ini adalah satu lagi pelaburan baharu yang strategik yang sudah pasti akan  mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab industri minyak dan gas di rantau ini”,  tegasnya. 

Hajiji berkata, dengan keluasan tanah 400 ekar di SOGIP, projek ini bukan saja mampu  membawa pelaburan asing langsung (FDI) bernilai lebih USD 3.5 bilion (RM15.5 bilion),  juga bakal mewujudkan hampir 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.  Dijangkakan lebih 3,000 orang tenaga pekerja diperlukan sewaktu pembinaan projek ini  dan lebih 1,000 orang tenaga pekerja tetap diperlukan sewaktu loji ini beroperasi  sepenuhnya.  

“Semua ini memberi petanda baik dalam usaha kita untuk mewujudkan peluang  pekerjaan kepada rakyat. Saya sentiasa menekankan kepentingan mengutamakan  pengambilan tenaga kerja Sabah dalam semua projek dan operasi di negeri ini. Saya  mahu semua pemain industri mematuhi keperluan asas ini, sebagai prinsip utama dalam  komitmen kita terhadap pembangunan tempatan”, tegasnya. 

Katanya, projek ini turut merangkumi pembangunan jeti, fasiliti pemeringkatan minyak,  makmal ujian petroleum dan bangunan pentadbiran.  

Beliau yakin dengan pelbagai kajian berkaitan alam sekitar yang dilaksanakan oleh  Petroventure seperti Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA), dapat memastikan projek ini  dibangunkan secara mampan dan selaras dengan keperluan industri serta kepentingan  alam sekitar yang diberi penekanan oleh kerajaan negeri. 

Tamat