Dasar & program kerajaan mesti berorientasikan kemakmuran rakyat

PENAMPANG: Semua dasar dan program kerajaan yang sedang dirancang mestilah  berorientasikan kemakmuran rakyat bagi memastikan semua peringkat rakyat  mendapat manfaat daripada setiap pembangunan yang dilaksanakan, kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Seiring dengan komitmen itu katanya, kerajaan negeri terus memberi perhatian yang  lebih menyeluruh terhadap rakyat untuk memiliki rumah yang selesa, untuk semua  peringkat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.  

Menurutnya, selain pembinaan projek perumahan kos rendah dan perumahan awam  mampu milik, kerajaan juga meneruskan pembinaan Rumah Mesra SMJ yang telah  dilancarkan pada tahun 2022. Setakat bulan Oktober 2024, sebanyak 4,482 buah  Rumah SMJ telah dibina. 

“Untuk tahun 2025 sebanyak RM250 juta iaitu peningkatan 100 peratus peruntukan bagi  pembinaan sebanyak 3,000 unit Rumah SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan  Negeri Sabah”, katanya pada Majlis Pelancaran Skim Rumah Rakyat Sabah (SRRS) di  tapak projek, 360 Boulevard Bundusan pada Ahad. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan  Perumahan Negeri, Datuk Isnin Haji Aliasnih. 

Katanya, pembangunan hartanah merupakan pemacu utama bagi kesan gandaan  ekonomi, selain dapat merangsang keseluruhan rantaian bekalan pasaran apabila  proses perancangan, pembinaan, jualan, dan penghunian mencetuskan aktiviti ekonomi  yang memberi kesan kepada sektor-sektor seperti pembinaan, kewangan, peruncitan,  pengangkutan, dan teknologi.  

Hajiji berkata, pelancaran rasmi SRRS membuka satu lagi lembaran baru dan penting  dalam usaha kerajaan negeri untuk menjana pembangunan ekonomi negeri, selain  untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negeri ini. 

Katanya, SRRS adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan setiap  rakyat di negeri ini memiliki rumah sendiri, disebabkan peningkatan kos sara hidup,  rakyat berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran untuk memiliki rumah sendiri  khususnya di kawasan bandar utama seperti Kota Kinabalu.

“Pelancaran skim perumahan yang inovatif ini akan mengubah landskap pemilikan  rumah di negeri ini. Skim ini akan memberi manfaat kepada 10,000 orang yang layak di  Sabah untuk membeli rumah pertama mereka di lokasi bandar utama, dengan harga  jualan tidak lebih dari RM500,000 serta syarat kemasukan yang mudah.  

“Kerajaan negeri melalui Kementerian Kewangan dan Sabah Credit Corporation selaku  penyedia tunggal pembiayaan utama skin ini, akan bekerjasama rapat dengan CFS  Usaha Tegas untuk membangun dan memperhalusi rangka kerja skim perumahan ini”,  katanya. 

Hajiji menggesa rakyat Sabah yang layak agar tidak lepaskan peluang istimewa yang  ditawarkan oleh skim ini. Dengan syarat kemasukan yang mudah, dan manfaat seperti  kadar faedah yang lebih rendah dan tetap, tempoh pembayaran balik pinjaman yang  lebih panjang, pinjaman 100% penuh dan pelan pembayaran balik khas. 

Di samping itu katanya, skim tersebut secara tidak langsung dapat memupuk sikap jati  diri dan keinginan di kalangan anak muda untuk memiliki rumah sendiri. 

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pemaju tempatan yang telah menyertai  skim ini, terutamanya Borneo Kemuncak Riang yang menawarkan Boulevard 360  Bundusan sebagai rumah pertama SRRS.  

“Saya berharap dengan pelancaran skim ini, kita akan mencipta lebih banyak kerjasama  antara kerajaan negeri dan pemaju-pemaju untuk memenuhi keperluan semua  peringkat pendapatan di Sabah", katanya. 

Tamat.