Sebanyak RM107.43 juta diperuntukkan bagi pembinaan kompleks OKU, warga tua

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM107.43 juta kepada  Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, pada tahun ini, antara lain bagi meneruskan  projek pembinaan kompleks yang diperlukan golongan orang kurang upaya (OKU) dan  warga tua. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ia membabitkan  pembinaan Kompleks Bersepadu OKU dan warga tua serta pembinaan bangunan  Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan; dan Kompleks Latihan OKU di  Daerah Sandakan.  

“Di samping itu, bagi meneruskan pemberian bantuan kepada golongan rentan  khususnya OKU, warga tua, anak yatim dan Ibu tunggal serta bantuan am di seluruh  negeri ini, Kerajaan bersetuju menaikkan peruntukan kepada RM76.29 juta pada tahun  ini dengan seramai 24,781 orang akan menikmati manfaat di bawah bantuan ini,”  katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Program `Sentuhan Kasih  Untaian Budi’ di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya, Sembulan di sini pada  Sabtu. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan  Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib. 

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri menyokong penuh program kemasyarakatan  yang memberi manfaat kepada golongan yang memerlukannya di negeri ini. 

Katanya, usaha mahasiswa Pendidikan Lanjutan Universiti Utara Malaysia Kampus  Kota Kinabalu yang bekerjasama dengan pelbagai pihak lain untuk mengadakan  program “Sentuhan Kasih, Untaian Budi” di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang  Upaya, Sembulan, amat dihargai.

“Sesungguhnya, menyantuni dan membantu masyarakat khususnya mereka yang  memerlukan bantuan, amat dekat dihati saya. Sebab itu, saya amat gembira dengan  pelaksanaan program ini yang mana ia melibatkan universiti dari luar negeri Sabah.  

“Ini sejajar dengan komitmen tidak berbelah bagi kerajaan negeri Sabah untuk  membantu pelbagai pihak, bukan sahaja golongan pelajar malahan golongan kurang  upaya. Saya dimaklumkan selain menyantuni anak-anak di Taman Didikan Kanak Kanak Kurang Upaya, Sembulan ini, pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuklah  aktiviti gotong royong, ceramah dan juga menyampaikan sumbangan bantuan.  

“Usaha seperti ini amat baik dan saya berharap lebih banyak lagi pihak lain termasuk  pelajar dari universiti akan melaksanakan program khidmat bakti kepada masyarakat  yang memerlukan bantuan,” katanya. 

Beliau turut berharap penganjuran program ini dapat menyuntik semangat mahasiswa  untuk terus mengadakan program bermanfaat seperti ini pada masa akan datang.  

“Program seperti ini bukan saja memberi manfaat kepada masyarakat malah program  berbentuk khidmat komuniti ini dapat memupuk dan membentuk sahsiah pelajar. 

“Penerapan nilai-nilai seperti pengurusan, pentadbiran dan pengatur caraan di dalam  program akan memperkasakan lagi kebolehan mahasiswa dalam mendepani situasi  sebenar alam pekerjaan,” katanya. 

Tamat