Konsep Malaysia Madani Perlu Difahami & Diperjelaskan Kepada Rakyat

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu konsep  Malaysia Madani difahami dan diperjelaskan secara menyeluruh kepada rakyat negeri ini. 

Katanya, konsep itu perlu diperjelaskan secara holistik dan dikupas secara ilmiah oleh pakar pakar ilmuan pelbagai bidang dengan mengaitkan ciri kepelbagaian yang sinonim dengan  negara kita khususnya di Sabah. 

Menurutnya, konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri  Panglima Anwar Ibrahim telah diangkat sebagai satu paradigma baharu untuk negara mengolah  hala tuju dasar dan pelaksanaan strategi, yang merentas semua sektor demi kemajuan,  kecemerlangan dan kesejahteraan tanahair tercinta. 

“Usaha untuk menghayati konsep ini amatlah penting sebagai landasan asas kepada kita semua  untuk sama-sama mencipta lonjakan baharu yang lebih harmoni, sejahtera, adil dan makmur.  Justeru, konsep ini amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di negeri ini yang  mempunyai lebih 30 etnik”, katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Malaysia Madani: Keharmonian dalam  Kepelbagaian di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini. 

Forum itu dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersama Pejabat Timbalan  Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas). 

Hajiji berkata, konsep Membangun Malaysia Madani yang terdiri daripada enam tonggak dasar  iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I  (Ihsan), bertepatan dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang  diperkenalkan oleh kerajaan negeri sebaik sahaja beliau menerajui kerajaan pada September  2020.  

Beliau turut berasa bangga kerana Sabah adalah negeri yang terawal menganjurkan seminar  dan forum berkaitan Malaysia Madani bagi mengupas dan memperjelas gagasan besar yang  diperkenalkan oleh PM. 

Katanya, bulan lalu Seminar Membangun Malaysia Madani Dari Naratif Lokal di Sabah telah  dianjurkan oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Sabah, Institut Darul  Ehsan (IDE) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah, di negeri ini.  

“Saya percaya akan ada lagi persatuan, NGOs dan pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam  dan IPT Swasta termasuk agensi kerajaan, akan menganjurkan seminar, forum dan bengkel  yang mengupas lebih lanjut dan mendalami konsep Malaysia Madani demi manfaat ahli-ahli,  para pelajar, graduan dan kakitangan kerajaan”, tegasnya.

Hajiji berkata, walaupun USIA adalah sebuah pertubuhan Islam, namun peranan dan  tanggungjawabnya dalam membantu usaha kerajaan melaksanakan program yang bermanfaat  kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, wajar disokong oleh semua pihak.  

Beliau berharap USIA terus maju ke hadapan, bukan semata-mata beramal dan berdakwah,  tetapi juga bergiat aktif dalam pelbagai bidang, membantu kerajaan dalam mempertahankan  keharmonian kaum, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat.  

“Syabas kepada USIA, teruskanlah kerja-kerja perbengkelan seumpama ini yang besar  manfaatnya kepada seluruh ahli dan masyarakat setempat”, tambahnya. 

Tamat