Kerajaan Selesai Laksanakan Fasa 1 DIIP & Tiga Data Hub

KOTA KINABALU: Kerajaan telah selesai melaksanakan Fasa 1 Inisiatif Kerajaan Digital  bagi “Data Integration and Interchange Platform” (DIIP) dan Tiga Data Hub iaitu People Hub,  Business Hub dan Geo Hub, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, ‘People Hub’ merupakan pemboleh daya untuk kelancaran integrasi data  merentas agensi melalui satu sumber asal yang sahih demi mencapai pendekatan  perkhidmatan agensi kerajaan dengan lebih holistik dan berpaksikan rakyat. 

Menurutnya, untuk memperkembangkan potensi penggunaan ‘Biz Hub’, Kerajaan Negeri  telah memperkenalkan empat perkhidmatan atas talian iaitu BizSabah Portal untuk  memberi maklumat keusahawanan bagi setiap daerah, Penilaian Environment Social  Governance (ESG) Sustainability Assessment untuk golongan SME. 

Virtual Engagement Platform (VEP) untuk pepadanan perniagaan (B2B Matching) dan  SabahTAMU untuk mempromosi dan merangsangkan pertumbuhan pasaran digital di  Sabah. 

“Manakala ‘Geo Hub’ membolehkan pemetaan dan analysis geospatial bagi pelbagai tujuan  dan pemantauan aktiviti dengan rujukan geospatial dan peta satelite. Fasa 1 bagi ‘DIIP’ dan  ketiga-tiga ‘hub’ ini telah selasai dilaksanakan”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan rasmi CelcomDigi Business Tech Week di  Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi  bin Manjun. 

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memantapkan penyampaian  perkhidmatannya dengan mengukuhkan pentadbiran dan kelengkapan peralatan digital  anggota perkhidmatan.  

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan memastikan jentera kerajaan terus bekerja dalam  suasana 5A iaitu Available At Anytime, Anywhere with Any mobile Device, serta akan  memastikan pemasangan kemudahan wifi di semua premis kerajaan dengan keselamatan  siber Kerajaan Negeri sentiasa terjamin daripada pencerobohan dan penggodaman. 

Hajiji berkata, menerusi usaha itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI)  melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer (JPKN) dan juga Sabah Net akan memastikan  pendigitalan di negeri Sabah diperkembangankan secara konsisten melalui pelbagai  perancangan dan program pendigitalan.  

Beliau berkata, JPKN akan terus membangunkan sistem aplikasi untuk agensi-agensi  Kerajaan Negeri dan dijangkakan sebanyak 30 sistem aplikasi yang bercirikan “End-To End” akan dibangunkan. 

Selain itu katanya, infrastruktur rangkaian internet di semua premis kerajaan akan terus  dimantapkan dengan pemasangan talian jalur lebar selaras dengan perluasan pemasangan  rangkaian gentian optik di seluruh negeri, serta akan merancakkan penggunaan solusi  pengkomputeran awan selaras dengan MyDigital Economy Blueprint.  

“Manakala Sabah Net meneruskan kerja menaik taraf di semua 749 pejabat kerajaan negeri  kepada rangkaian fiber dengan kelajuan minimum 100Mbps sehingga tahun 2025. Pusat  Data Sabah Net yang mempunyai kuasa kapasiti tinggi adalah pengehosan utama bagi  aplikasi perkhidmatan kerajaan negeri”. 

“Bagi peningkatan keselamatan siber, Sabah Net meneruskan usaha dalam menaiktarafkan  sistem keselamatan siber menggunakan teknologi yang terbaharu. Peningkatan ini akan  memperkukuhkan perlindungan keselamatan siber agar kerajaan boleh beroperasi secara  fleksibel di mana-mana sahaja”, tegasnya. 

Hajiji berkata, Sabah Net akan berkolaborasi dengan pihak berkuasa dan pembekal  perkhidmatan keselamatan siber yang berkaliber di Malaysia untuk menjadikan Sabah  sebagai pusat pembangunan modal insan dalam bidang keselamatan siber. Sabah Net juga  telah menaik taraf portal layan diri untuk membolehkan pengguna kerajaan mengurus log  masuk e-mel mereka dengan sendiri sepenuhnya, selain akan menjadi one stop centre  untuk perkhidmatan pengkomputeran awan.  

Menurutnya, dalam mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti perkhidmatan  jalur lebar di Sabah, Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia akan menambah pembinaan menara baharu, penaiktarafan stesen pemancar  sedia ada kepada 4G dan menaiktaraf Pusat Internet Desa (PID) kepada Pusat Ekonomi  Digital Keluarga Malaysia (PEDI).  

Beliau berkata, KSTI juga akan memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di  300 lokasi yang dikenalpasti pada tahun 2023, manakala Kementerian Komunikasi dan  Multimedia juga turut bersetuju untuk memasang 300 buah VSAT di Sabah di lokasi-lokasi  yang tidak termasuk di bawah program JENDELA.  

“Kesemua perancangan serta program-program pendigitalan yang dilaksanakan kerajaan  negeri ini adalah memastikan bukan sahaja dalam meningkatkan dan menambahbaikan  sistem perkhidmatan awam negeri Sabah, malah sebagai pemangkin untuk  mempercepatkan transformasi digital di negeri Sabah”, tegasnya. 

Tamat