Program TVET relevan bantu majukan ekonomi Sabah

KOTA KINABALU: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)  sangat relevan dalam usaha Sabah untuk terus memajukan sektor ekonominya yang  bertunjangkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, ia mampu mempersiapkan graduan dengan tenaga kerja mahir dan  mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.  

Beliau berkata, Sabah yang mempunyai sumber alam semula jadi, minyak dan gas,  sektor pertanian dan plancongan, mahu memajukan sektor pembuatan atau perkilangan  sejajar dengan usaha kerajaan yang telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam  memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dipertingkatkan. 

“Kerajaan telah berjaya membawa ramai pelabur asing untuk membuka perniagaan  mereka di negeri ini, antaranya kilang kerajang tembaga oleh syarikat SK Nexilis dan  kilang pembuatan kaca solar, Kibing”. 

“Kerajaan Negeri telah menetapkan sebanyak 80 peratus tenaga kerja bagi kilang ini  adalah penduduk tempatan. Namun sayangnya kekosongan yang ditawarkan belum  dapat diisi sepenuhnya kerana tenaga kerja di Sabah masih kekurangan kemahiran  yang diperlukan”, katanya. 

Beliau berkata demikian ketik merasmikan Sabah TVET Symposium 2023 di The  Magellan Sutera Harbour Resort pada Selasa. Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh  Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji  Abu Bakar Titingan. 

Katanya, dengan menyelaraskan program TVET mengikut keperluan industri, dapat  memastikan graduan kita bukan hanya boleh mengisi kekosongan jawatan yang  ditawarkan malah mewujudkan peluang pekerjaan melalui pemupukan budaya inovasi.  

Menurutnya, ibu bapa di Sabah juga perlu sentiasa berfikiran terbuka dan tidak  menganggap pendidikan TVET sebagai pilihan ketiga atau keempat. sebaliknya perlu  menyedari bahawa TVET adalah sangat penting dalam era Revolusi Industri 4.0. 

“Golongan belia perlu merebut peluang menceburi bidang TVET kerana kursus yang  ditawarkan telah disesuaikan mengikut keperluan pasaran guna tenaga sekali gus  menjamin peluang pekerjaan pada masa depan”, tegasnya. 

Hajiji berkata, TVET bukan hanya sekadar melengkapi individu dengan kemahiran, ia  juga sinonim dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan, dan pertumbuhan ekonomi,  selain berkait rapat dalam memupuk inovator, usahawan, dan pekerja mahir yang  mendorong kemajuan Sabah di abad ke-21. 

Beliau berkata, dalam era teknologi masa kini, pendigitalan dan ‘Artificial intelligence  (AI)’ merupakan sumber daya baharu yang boleh menggantikan manusia dalam  melakukan tugasan dan amat penting mempersiapkan anak-anak muda negeri ini untuk  beradaptasi dengan kemajuan-kemajuan teknologi dalam mengharungi cabaran  mendatang. 

Justeru katanya, Sabah TVET Symposium 2023 yang bertemakan “Peranan TVET  dalam memacu inovasi dan pengasahan bakat di negeri Sabah” jelas menunjukkan  bahawa institusi TVET di Sabah merupakan barisan hadapan yang akan menyelusuri  kepada transformasi itu, selain sebagai pusat pembelajaran juga pusat inovasi dan  pembangunan kemahiran.  

Hajiji berkata, kejayaan TVET tidak hanya bergantung pada institusi pendidikan,  sebaliknya adalah usaha kolektif yang memerlukan komitmen kerajaan, industri, dan  masyarakat ekonomi.  

Beliau berharap Persatuan TVET Sabah (PeTS) yang menyatukan hampir seluruh  institusi TVET di Sabah, akan menjadi platform untuk berkongsi maklumat berkaitan  TVET, selain membincangkan polisi berkaitan TVET yang boleh diketengahkan kepada  Jabatan Pembangunan Kemahiran Negeri Sabah (JPK).  

Tamat