MA63: Banyak Kejayaan Dicapai Oleh Kerajaan GRS

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai banyak  kejayaan dari segi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperjuangkan dalam tempoh  dua tahun pertama pemerintahannya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor.  

Katanya, beberapa peristiwa penting telah dicapai oleh kerajaan negeri berhubung  MA63 termasuk dalam sektor minyak dan gas.  

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan  hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan perjanjian penubuhan  Malaysia dapat dilaksanakan. 

Beliau berkata, Kerajaan GRS telah bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik  dan perpaduan di Sabah.  

"Beberapa kejayaan yang dicapai Kerajaan Negeri dalam tempoh lebih dua tahun  melalui Pelan Pembangunan Hala Tujuh Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor  pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah pada tahun lalu mencapai  rekod tertinggi dalam sejarah iaitu bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2 billion  pada tahun 2021". 

"Peningkatan sebanyak 35.4% ini adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif  sejak kebelakangan ini dan saya yakin, nilai perdagangan kita akan terus meningkat  naik". 

“Sabah juga berjaya menarik lebih daripada RM33 bilion pelaburan dan memperoleh  hasil RM7 bilion, ini merupakan pencapaian yang tertinggi sejak mencapainya  kemerdekaan. Usaha-usaha ini akan giat dipertingkatkan lagi termasuk  mempertingkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor  pembangunan di Sabah”. 

“Namun kita tidak pernah berpuas hati, malah akan terus membawa pembangunan dan  kemajuan termasuk berusaha menyelesaikan isu serta masalah yang dihadapi rakyat  sejak sekian lama di negeri ini”, katanya pada majlis sambutan Hari Malaysia Peringkat  Negeri Tahun 2023 di Padang Merdeka pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan  Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam. 

Hajiji berkata, setelah genap 60 tahun pembentukan Malaysia, negeri Sabah khususnya  telah mengecapi pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek.  

Katanya, proses pembentukan Malaysia pada tahun 1963 bukanlah berlaku dalam  sekelip mata, sebaliknya ia adalah atas segala usaha dan keringat pemimpin-pemimpin  ketika itu menempuh pelbagai liku, rintangan dan cabaran untuk merealisasikannya. 

Justeru katanya, menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk  mempertahankan kedamaian, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi kini. 

Menurutnya, kesatuan dan perpaduan antara rakyat merupakan kunci kepada kejayaan  negara. Perpaduan juga aset paling penting dalam memperkukuh kedaulatan dan  keamanan negara yang mempunyai masyarakat majmuk.  

Hajiji berkata, sambutan Hari Malaysia 2023 bertemakan “Malaysia Madani, Tekad  Perpaduan Penuhi Harapan”, adalah aspirasi tekad dan komitmen pemimpin bersama  rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi,  bersatu-padu serta kehidupan yang aman serta sejahtera.  

Katanya, selaras dengan konsep Malaysia MADANI, ia adalah kunci utama rakyat  mengecapi segala bentuk kemajuan dan kemodenan berteraskan kemampanan budaya  bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan. 

“Semoga Malaysia terus aman dan harmoni. Rakyatnya hidup bersatu-padu dan saling  bertoleransi”, tegas Hajiji. 

Tamat