Program Tranformasi Sekolah 2025 Lahirkan Guru Berkualiti

KOTA KINABALU: Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) mampu melahirkan guru  berkualiti dan persekitaran Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang bermakna  dengan sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti, kata  Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, ini kerana TS25 adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul  melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, disokong kepimpinan yang  berkualiti dan berwawasan, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi serta komitmen  komuniti yang padu. 

Menurutnya, Program TS25 merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian  Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. 

"Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan dan menyokong Program TS25 dalam usaha  membantu meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan di negeri ini", katanya pada  majlis penutupan Kolokium TS25 Peringkat Antarabangsa 2023 di Sabah International  Convention Centre (SICC) pada Selasa. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk  Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan. 

Katanya, kolokium yang bertemakan “Transformasi Sekolah Melonjak Kecemerlangan  Daerah” selama 2 hari itu melibatkan penyertaan dan pembentang perkongsian amalan  terbaik Transformasi TS25 dari peringkat sekolah, pendidikan daerah dan negeri serta  institusi-institusi pendidikan luar negara. 

"Sesungguhnya, platform dari sekolah ke persada antarabangsa ini memenuhi tuntutan  cabaran transformasi globalisasi dalam pendidikan agar pendidik di sekolah-sekolah  TS25 lebih bermotivasi untuk terus transform, berkarya, berkongsi kejayaan dari amalan  terbaik, dapatan-dapatan kajian, intervensi, kreativiti dan inovasi yang mampu memberi  tambah nilai dalam mengatasi isu-isu pendidikan dan pengurusan dalam kalangan  warga pendidik". 

"Kelangsungan pengantarabangsaan kolokium ini juga dapat memastikan  kesinambungan penyelidikan dan inovasi dan pendidikan kita terus subur berkembang".

"Ramai dalam kalangan pendidik kita di sekolah TS25 yang mempunyai hasil dapatan  kajian berimpak tinggi, strategi pengajaran dan pembelajaran bermakna, inovasi yang  mampu mengurangkan atau mengatasi isu dengan impak yang besar di dalam bilik  darjah tetapi tidak dikongsi dan disebarkan untuk dijadikan amalan terbaik oleh warga  pendidik yang lain", tambahnya. 

Hajiji berharap melalui kolokium itu semakin banyak penghargaan dan pengiktirafan  penyelidikan, inovasi dan amalan baik dapat dimantapkan sehingga menjadi bitara  budaya kerja cemerlang.  

Katanya, penyertaan peserta dan pembentang kolokium TS25 merupakan dinamika  paradigma positif dalam tranformasi kecemerlangan pendidikan yang akan membawa  impak kecemerlangan pendidikan di peringkat daerah, negeri dan negara.  

Beliau berharap hasil daripada kolokium itu dapat dikongsikan dan digunakan demi  kecemerlangan dan kemenjadian murid serta sekolah, khususnya di negeri ini. 

Tamat.