Membudayakan Integriti Dalam Perkhidmatan Awam

TUARAN: Penjawat awam di negeri ini perlu terus membudayakan budaya kerja unggul,  berintegriti dan cemerlang yang menjadi asas kepada peningkatan produktiviti  sesebuah organisasi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam kalangan penjawat awam sangat  penting untuk memastikan hala tuju, visi dan misi kerajaan dapat dicapai dan  dilaksanakan dengan jayanya. 

Menurutnya, Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) menuntut  keberkesanan dan kecekapan penyampaian serta kecemerlangan tadbir urus yang  berintegriti, agar ia dapat dilaksanakan seperti direncanakan kerajaan.  

"Justeru tahap integriti yang tinggi perlu ada pada diri setiap penjawat awam bagi  memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa cemerlang. Perkara ini penting  dalam memastikan rakyat dapat menikmati hasil sebenar perkhidmatan berkualiti yang  disampaikan oleh penjawat awam", katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Program Enhancing Integrity Project  (EIP) sempena Program Pegawai Integriti Bertauliah (Certified Officer) (CeLO) Siri 36,  Bil 3 Tahun 2023 di Dewan Seri Sulaman pada Sabtu. Teks ucapan Hajiji dibacakan  oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr. Ahemad Sade. 

Hajiji berkata, perkhidmatan awam adalah komponen penting dalam melaksanakan  aspirasi kerajaan dan kehendak rakyat dengan cekap dan cepat. 

"Penjawat awam wajar menunaikan amanah dan kewajipan dengan penuh taat setia  dan berintegriti dalam apa juga tugas yang dilaksanakan. Amat penting mereka  mengekalkan integriti demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan",  tegasnya. 

Katanya, integriti tidak terhad kepada aktiviti yang berunsur rasuah, penyelewengan dan  salah guna kuasa sahaja malah dalam aspek penyampaian dan penyebaran maklumat  terutamanya di media sosial.

Menurutnya, cabaran kepada kerajaan dan perkhidmatan awam ialah menangkis  maklumat yang tidak tepat, sensitif yang boleh memecah belahkan perpaduan dan  menimbulkan kesan negatif kepada masyarakat, demi mengukuhkan integriti  perkhidmatan awam negeri. 

Hajiji berkata, pelaksanaan program Pegawai Integriti Bertauliah untuk pegawai awam  negeri ini merupakan antara komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha memperkukuh  keberkesanan dan kecekapan penyampaian serta kecemerlangan tadbir urus baik yang  lebih berintegriti. 

Beliau percaya program Pegawai Integriti Bertauliah yang pertama kali dilaksanakan itu  dapat mengukuhkan lagi pengurusan integriti perkhidmatan awam negeri khususnya  dalam memastikan pembudayaan, penginstitusian, pengesanan dan pengesahan  aduan salah laku rasuah atau tatatertib serta menasihati pihak pengurusan dalam  aspek integriti. 

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia dan memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha  memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di segenap lapisan  perkhidmatan.  

Menurutnya, program dan latihan akan terus dilaksanakan dalam usaha  memperkukuhkan kesedaran setiap anggota perkhidmatan awam dan masyarakat  umum terhadap kepentingan menjaga dan membudayakan integriti dalam kehidupan  dan pekerjaan. 

Hajiji juga berharap program Pegawai Integriti Bertauliah itu dapat diteruskan di masa  akan datang bagi melahirkan lebih ramai lagi Pegawai Integriti Bertauliah di Sabah  dalam usaha menginstitusikan pembudayaan integriti kepada penjawat awam dan  masyarakat umumnya.  

Seiring dengan keperluan melestarikan integriti di negeri ini, beliau mencadangkan  supaya kumpulan Pegawai Integriti Bertauliah Negeri Sabah terus diperkasakan dan  dijadikan sebuah institusi integriti di bawah kawalan Setiausaha Kerajaan Negeri. 

Tamat