Usaha perangi rasuah perlu komitmen semua pihak

KOTA KINABALU: Usaha memerangi rasuah dan pengukuhan integriti memerlukan  komitmen daripada semua pihak termasuk para pemimpin, penjawat awam, pegawai di  sektor swasta, individu dan institusi kekeluargaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor.  

Katanya, hasrat Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direliasasikan dengan kadar yang lebih  cepat sekiranya integriti dapat diterapkan dalam diri penjawat awam dan isu-isu rasuah  dapat dikurangkan atau dihapuskan.  

Katanya, ini kerana di bawah inisiatif SMJ, Kerajaan Negeri komited untuk memberikan  peruntukan yang besar bagi menjayakan Hala Tuju SMJ yang memfokuskan 3 elemen  utama iaitu Sektor Utama Pertumbuhan Ekonomi: Pertanian, Perindustrian dan  Pelancongan, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan  Kelestarian Hijau.  

"Inilah usaha Kerajaan Negeri yang ingin melihat Sabah terus membangun, berdiri sama  tinggi dan duduk sama rendah setanding dengan negeri-negeri lain. Semua usaha yang  dilakukan ini akan sia-sia sekiranya pelaksana di peringkat jentera Kerajaan dan swasta  gagal memahami maksud Sabah Maju Jaya dan gagal menghayati budaya kerja  berintegriti dan melakukan perbuatan rasuah" katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Program Seminar Kelestarian Integriti  (SKI) Bual Santai “Misompuru Tokou: Apa Khabar KK” di Lintasan Deasoka, Jalan Gaya  pada Ahad. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri  Panglima Sr Haji Safar Untong. 

Hajiji berkata, integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam kalangan penjawat awam  sangat penting untuk memastikan hala tuju, visi dan misi kerajaan dapat dicapai dan  dilaksanakan dengan jayanya.  

Katanya, ini selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ yang mempunyai  pelbagai insentif untuk membangunkan negeri ini, khususnya ekonomi yang terjejas  akibat pandemik COVID-19. 

"Kita amat memerlukan penjawat awam yang mampu menjalankan tugas dengan  penuh integriti dan ikhlas. Pembudayaan amalan integriti mampu melahirkan warga kerja yang lebih efisien, produktif, beretika dan mampu mewujudkan mekanisme  kawalan bagi memastikan peraturan dan dasar yang ditetapkan dipatuhi", tambahnya. 

Menurutnya, penjawat awam perlu sedar nilai integriti tidak terhad kepada satu perkara  sahaja, sebaliknya ia melibatkan semua tindakan sama ada melalui penampilan, sikap  dan sebarang keputusan yang diambil. 

Beliau berkata tanpa mengamalkan budaya kerja berintegriti, semua perancangan akan  gagal, menyebabkan berlaku ketirisan besar dalam perbelanjaan kerajaan sehingga  imej kakitangan awam kerajaan dan pemimpin negeri tercemar dan rakyat tidak akan  lagi mempercayai jentera Kerajaan dan perkhidmatan awam.  

Hajiji berkata, tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan menjadi elemen penting  dalam memastikan sesuatu dasar dirangka dapat dilaksanakan secara berkesan. 

"Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kepercayaan rakyat berkait rapat keyakinan  terhadap perkhidmatan awam. Kepercayaan dan keyakinan rakyat akan bertambah  sekiranya perkhidmatan awam mempunyai imej berintegriti, berdaya saing serta efektif",  tambahnya. 

Beliau juga mahu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada  beberapa tujahan untuk memastikan sistem pentadbiran negeri dapat berfungsi dengan  berkesan, bebas daripada ancaman rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan  berlandaskan prinsip integriti. 

Antaranya ialah memperkasakan program integriti di peringkat negeri dengan  menyediakan sejumlah peruntukan khas bagi menampung program-program  pengukuhan integriti yang tidak hanya tertumpu kepada taklimat dan ceramah semata mata, sebaliknya perlu segar, kreatif dan seiring dengan teknologi semasa. 

Menghantar penjawat awam negeri menghadiri program Pegawai Integriti Bertauliah  setiap dua tahun bagi memastikan sekurang-kurangnya setiap jabatan mempunyai  seorang pegawai integriti bertauliah, sekaligus memperkukuhkan tatakelola agensi  kerajaan dan memastikan usaha ‘check and balance’ dapat diperluaskan serta tidak  terhad kepada program audit semata-mata. 

Memperkasakan Unit Integriti di peringkat badan berkanun dan Syarikat Berkaitan  Kerajaan (GIC) dengan menambah bilangan pegawai yang kompeten dan mencukupi  bagi melaksanakan fungsi-fungsi Unit Integriti. 

Memperkasakan Pegawai-pegawai Integriti Bertauliah Negeri Sabah dengan  menghantar pegawai menghadiri program-program khusus sama ada dalam negara  mahupun luar negara bermula tahun 2024. 

Tamat