Sabah Tumpu Bangun & Pembudayaan Sains,Teknologi dan Inovasi

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menitikberatkan dan terus memberi tumpuan  kepada pembangunan dan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di negeri  ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, bagi mempergiat pembudayaan dan pengaplikasian STI di peringkat akar  umbi, Kerajaan Negeri dengan bantuan Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi  Sabah (MaPTIS) melaksanakan beberapa program baharu seperti Program Jelajah  SMJ KSTI, Majlis Anugerah Sains Sabah, Program Jelajah Astronomi Sabah dan Sabah  Malaysia Techlympics 2023.  

Menurutnya, Digital Internet Of Thing (IoT) Sandbox yang pertama di Borneo telahpun  beroperasi sepenuhnya di Kota Kinabalu yang bertujuan menggalakkan masyarakat  berdaya kreatif dan berinovasi, disamping meningkatkan pengkomersialan hasil inovasi  tempatan. 

“Kerajaan Negeri juga akan meneruskan program inovasi masyarakat luar bandar  melalui Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan Pusat e-Desa. Kita juga merancang untuk  menubuhkan Pusat Sains dan Inovasi di setiap zon. Projek yang sedang dalam proses  untuk pelaksanaannya ini merangkumi pembinaan Pusat Sains dan “Maker Space” di  Perpustakaan Negeri cawangan Sandakan dan Tawau.  

“Justeru Kerajaan Negeri akan mewujudkan lebih banyak perpustakaan di negeri ini  yang dilengkapi dengan bahan bacaan dan sumber-sumber rujukan terkini berkaitan  STI”, katanya ketika merasmikan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 Peringkat  Negeri Sabah dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sabah di Dewan Kuliah  Pusat Baru Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri (KSTI),  Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif. 

Hajiji berkata, pelaksanaan Malaysia Techlympics 2023 merupakan pertandingan  berteraskan STI yang dirangka untuk menarik minat para pelajar dan belia khususnya  dalam mempelajari teknologi terkini serta mengaplikasinya secara lahiriah menerusi  ciptaan-ciptaan inovasi seperti robotik dan dron.  

Menurutnya, jumlah penyertaan pada Malaysia Techlympics bagi negeri Sabah  meningkat tahun ini daripada 31,955 pada 2022 kepada 78,884 pada 2023. 

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan menyambut baik inisiatif-inisiatif  yang dilaksanakan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia  (MOSTI). 

Beliau berkata, kolaborasi strategik Kerajaan Negeri bersama MOSTI melalui KSTI  Sabah termasuklah Kembara Sains Borneo yang sedang berlangsung bermula 21 Ogos  lalu hingga 1 Oktober 2023 meliputi kawasan-kawasan seperti Kudat, Kota Marudu,  Pitas, Kimanis, Kalabakan dan Pensiangan.  

Hajiji berharap anak-anak Sabah dapat memanfaatkan inisiatif Kerajaan melalui MOSTI,  khususnya dalam menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif, program dan aktiviti  serta mewujudkan kesedaran dan pembudayaan STI secara bersepadu. 

“Ketersediaan Kerajaan Negeri dalam membantu menjayakan pelaksanaan Karnival  MSN 2023 Peringkat Negeri Sabah dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon  Sabah adalah manifestasi komitmen kita bagi membudayakan STI dalam kalangan  rakyat setempat”. 

“Pelaksanaan karnival ini juga untuk meraikan kepelbagaian STI dan memberi peluang  kepada penggerak dan pengamal STI tempatan mengetengahkan teknologi dan inovasi  mereka kepada seluruh rakyat Sabah khususnya golongan sasar belia dalam bidang  teknologi”, tambahnya. 

Beliau turut menyeru kepada anak-anak Sabah agar mengambil bahagian dalam  karnival itu dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sabah dengan pengisian dari  MOSTI dan rakan-rakan strategik lain yang berlangsung sehingga Oktober 2023. 

Tamat