RM4.2 juta untuk projek & program pembangunan wanita

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4.2 juta  kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan RM 700,000.00 kepada Majlis  Penasihat Wanita Sabah (MPWS) bagi melaksanakan pelbagai projek dan program  pembangunan wanita, termasuk operasi dan pengurusannya tahun ini, kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, peruntukan khas juga telah diberikan untuk projek jangka pendek melalui  Projek Creating Millionaire Among Young Women (CreaM@YWE) sebanyak RM  554,540.00 dan RM3.4 juta untuk Projek Akademi Kepimpinan Wanita Sabah. 

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dan program di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju  Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan pada  tahun 2023.  

“Antaranya ialah Program Outreach Santuni Wanita dan Program JHEWAnita untuk  memperkasa golongan ibu tunggal dan wanita B40. Program Santuni Komuniti yang  bertujuan meningkatkan penghasilan dan penjualan produk oleh usahawan ibu tunggal  dan wanita B40 merupakan antara inisiatif baharu untuk menyantuni masyarakat juga  akan diadakan”, katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat  Negeri Sabah Tahun 2023 di Grand Ballroom, The Magellan Sutera Resort pada Sabtu. 

Hajiji berkata, Kerajaan sememangnya mengambil usaha dan tindakan yang berterusan  bagi merapatkan jurang gender melalui inisiatif yang diambil, sama ada melalui  kementerian, jabatan mahupun agensi terlibat kerana ramai wanita yang berkaliber dan  berpotensi untuk memegang jawatan pembuat keputusan dalam sesebuah organisasi.  

Menurutnya, di Sabah sendiri saban tahun berlaku perubahan wanita sebagai pembuat  keputusan. Dalam sektor penjawatan awam, setakat bulan Ogos 2023, statistik dan data  wanita pembuat keputusan Kerajaan Negeri Sabah bagi Timbalan Setiausaha Kerajaan  Negeri Sabah berjumlah 33.3% iaitu seorang wanita daripada 3 orang Timbalan  Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Bagi jawatan Setiausaha Tetap berjumlah 9.09% iaitu seorang wanita daripada 11  Setiausaha Tetap Kementerian. Peratusan Timbalan Setiausaha Tetap sebanyak 40%  iaitu 8 wanita daripada 20 Timbalan Setiausaha Tetap. Sementara Ketua Jabatan pula  sebanyak 30.23% iaitu 13 wanita daripada 43 Ketua Jabatan”. 

“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip  pemerkasaan wanita kerana wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan  negara yang paling penting, bukan sahaja dalam aspek sosial, politik dan ekonomi,  malah merangkumi segala aspek pembangunan negara”, katanya. 

Beliau berkata, banyak yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi menambahbaik perlindungan dan kebajikan pekerja khususnya wanita, antaranya pindaan ke atas Akta  Kerja 1955 yang merangkumi pindaan cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari  kepada 98 hari, cuti paterniti daripada 3 hari ke 7 hari agar suami membantu para isteri  yang baharu melahirkan anak serta majikan diwajibkan menampal notis tentang  kesedaran gangguan seksual di tempat kerja. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri komited dan terus memberi sokongan padu terhadap  segala usaha yang dibuat mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO)  untuk memperkasakan pembangunan wanita di negeri ini. Selaras dengan hala tuju  Kerajaan Negeri untuk membudayakan masyarakat prihatin dan merakyatkan  perkhidmatan yang cemerlang, kerajaan kekal komited untuk meningkatkan  kesejahteraan rakyat.  

Menurutnya, tanpa mengambil kira latar belakang mereka, wanita pada masa kini  mempunyai banyak kepakaran dalam pelbagai bidang dan berperanan penting kepada  kemajuan negara, pembangunan institusi kekeluargaan serta pengukuh kasih sayang  dalam masyarakat.  

Katanya, komitmen, kesabaran dan kecekalan wanita sebagai seorang isteri, seorang  ibu, seorang anak dan sebagai seorang warga Malaysia yang berjiwa besar sangat  memberikan inspirasi kepada semua.  

“Walaupun lakaran kejayaan demi kejayaan terus dicapai, kita tidak harus berpuas hati.  Tugas untuk memperkasa wanita perlu diperkemaskan kerana wanita masih  terbelenggu dengan isu stereotaip terhadap kepimpinan wanita, penglibatan wanita  sebagai pembuat keputusan, beban berganda bagi wanita berkerjaya yang perlu  mengimbangi antara tuntutan kerja dengan pengurusan rumah tangga, serta isu  keganasan berasaskan gender yang masih menyasarkan wanita”, tegasnya. 

Tamat