Sabah sambut Hari Kebangsaan, Hari Sabah pada 31 Ogos

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat bermakna kerana Sabah  akan turut meraikan bersama Hari Sabah setelah Kerajaan Negeri pada Jun lalu  mewartakan untuk memperingati hari bersejarah itu. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap tiada kekeliruan  khususnya dalam konteks penganjuran Hari Kebangsaan dan Hari Sabah kerana bagi  negeri ini, Hari Sabah yang akan diraikan pada 31 Ogos ini akan menjadi titik penyatuan  rakyat berbilang kaum untuk bersama membangunkan negeri ini.  

Katanya, Hari Sabah juga memperingati hari yang menandakan berakhirnya  pemerintahan British di Sabah pada 31 Ogos 1963 dan bermulanya perjalanan kita  bersama untuk pemerintahan sendiri dan membentuk negara Malaysia. 

“Kita mahu rakyat khususnya generasi muda lebih mengetahui sejarah bukan saja  mengenai sambutan Hari Kebangsaan tetapi juga Hari Sabah. Namun, yang lebih  penting ialah semangat kita untuk terus bersama-sama membangunkan dan  memajukan negeri ini dan negara kita yang tercinta”, katanya. 

Hajiji berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan  Kempen Kibar Bendera Peringkat Negeri 2024 di perkarangan bangunan Dewan  Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada Khamis. 

Katanya, usaha kerajaan negeri membawa pembangunan dan kemakmuran kepada  rakyat dan negeri ini, beberapa sektor penting dalam agenda Hala Tuju Sabah Maju  Jaya terus menjadi keutamaan, antaranya keterjaminan makanan, meningkatkan  pelaburan dari dalam dan luar negara serta pelancongan, menoktahkan miskin tegar,  peningkatan infrastruktur, pendidikan, peningkatan penyampaian perkhidmatan dan  keselamatan. 

Beliau berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada modal insan khususnya  generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang, agar  berusaha gigih dalam mempertahankan kedaulatan negara dari terus diganggu gugat  oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Menurutnya, 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan  dan Hari Malaysia tahun ini, menggambarkan komitmen kita untuk terus  membangunkan sebuah masyarakat yang adil dan sejahtera. 

“Tema ini juga membawa maksud pentingnya untuk kita memastikan kemakmuran dan  kemajuan disamping menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif  dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial  dan ekonomi”, katanya. 

Hajiji berharap agar rakyat terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian yang  telah menjadi kekuatan utama dalam pembangunan dan kemajuan negara dan negeri  ini. Sesungguhnya, rakyat mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memelihara  dan mempertahankan perpaduan yang sedia terjalin.  

Sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera, beliau  menyeru kepada rakyat Malaysia di negeri ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan  bendera Sabah di kediaman masing-masing, bangunan pejabat dan premis perniagaan  serta kenderaan sepanjang sambutan itu sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran  dengan nikmat kemerdekaan.  

“Sudah pasti dengan adanya semangat dan komitmen yang tinggi untuk sama-sama  menjayakan sambutan ini, saya yakin Jalur Gemilang dan bendera negeri akan sentiasa  berkibar dengan megah sebagai bukti kita semua bersatu hati bagi mempertahankan  dan mengisi nikmat kemerdekaan”, katanya. 

Hajiji berkata, pelbagai program dirancang sepanjang bulan kebangsaan tahun ini,  antaranya Kembara Merdeka, Simfoni Jiwa Merdeka dan program Merdeka @Komuniti  Peringkat Parlimen dan DUN.  

"Bulan kebangsaan bukan sekadar perayaan semata-mata, juga merupakan peluang  untuk kita menyantuni rakyat, mengekalkan semangat perjuangan dan patriotisme  dalam kalangan rakyat berbilang kaum negeri ini", tegasnya. 

Tamat